Malaysia Dateline

Total lockdown: Empat fokus gandakan bantuan sosioekonomi rakyat, segerakan vaksinasi menyeluruh

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional memandang serius kelewatan kerajaan mengumumkan pakej bantuan ekonomi menyeluruh susulan pengumuman penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial (total lockdown) bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Tanpa menafikan keperluan total lockdown ini bagi mengekang kelumpuhan sistem kesihatan negara berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, kami menegaskan bahawa pengumuman ini sewajarnya telah pun disusuli segera dengan pakej bantuan ekonomi dan sosial kepada rakyat yang harus digandakan peruntukannya, bersifat menyeluruh bukan sekadar one-off dan merangkumi sebahagian besar rakyat serta sektor terjejas.

Pakej bantuan yang komprehensif, melangkaui moratorium atau pengeluaran caruman KWSP, adalah amat kritikal bagi menangani impak ekonomi pandemik ini serta sewajarnya diberikan sehingga akhir tahun atau sekurang-kurangnya sehingga imuniti kelompok (80% populasi menerima dos lengkap vaksin) dicapai.

Setelah lebih setahun negara berdepan penularan pandemik ini, dimulai dengan pelaksanaan PKP demi PKP lalu membawa kepada Pengisytiharan Darurat kononnya atas alasan memerangi wabak, sehingga pengumuman total lockdown pada Jumaat lepas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ternyata masih tercari-cari solusi membantu rakyat yang kian terhimpit akibat kegagalan kerajaan sendiri membendung penularan wabak yang mengancam nyawa ini.

Malah, selepas lebih setahun situasi pandemik ini mencengkam kehidupan rakyat, kerajaan PN ternyata masih gagal memahami bahawa pengumuman total lockdown.

Apatah lagi dengan kelewatan pengumuman pakej bantuan, merupakan suatu igauan ngeri buat sebahagian besar rakyat khususnya kelompok pekerja harian, penjaja, peniaga kecil, petani dan nelayan yang bergantung kepada pendapatan harian untuk meneruskan kehidupan, di samping risiko kehilangan pekerjaan dan gulung tikar bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, kami menggesa kerajaan segera menumpukan kepada empat fokus dalam pakej bantuan menyeluruh kepada rakyat, merangkumi:

1. Kesihatan

i. Menyegerakan segala peruntukan kewangan bagi perolehan vaksin dan menjamin bekalan vaksin mencukupi bagi mempercepatkan kadar vaksinasi kepada keseluruhan populasi menuju 80% imuniti kelompok menjelang Ogos 2021;

ii. Mengkaji segera strategi vaksinasi dengan memberi kebenaran kepada hospital dan klinik swasta, kerajaan negeri dan majikan sektor swasta membeli vaksin dan menjalankan program vaksinasi di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan bagi memenuhi keperluan vaksinasi setiap sektor termasuk vaksinasi kepada pekerja asing;

iii. Meningkatkan jumlah pusat kuarantin, fasiliti kesihatan sementara dan kakitangan perubatan bagi memastikan semua pesakit positif Covid-19 dapat diasingkan dan mendapat akses rawatan segera;

iv. Meningkatan saringan rapid (RTK) besar-besaran secara rumah ke rumah bagi mengesan kes positif dan mempercepat proses pengasingan pesakit; dan

v. Meningkatkan jumlah elaun khas kepada semua petugas barisan hadapan sektor kesihatan termasuk pekerja pembersihan dan memudahcara proses permohonan elaun ini.

Kerajaan perlu mengumumkan pakej bantuan untuk rakyat dan peniaga kecil bagi tempoh sekatan pergerakan penuh mulai lusa.

2. Ekonomi

i. Menggandakan jumlah peruntukan kewangan keseluruhan berbanding Pakej Prihatin dan Penjana yang diumumkan sebelum ini dan tidak sewajarnya mengambil kira angka moratorium dan pengeluaran caruman KWSP yang hakikatnya bukannya bantuan kerajaan;

ii. Bantuan tunai bulanan minimum 6 bulan kepada kelompok pekerja harian, di sektor berpendapatan rendah, rakyat yang hilang pekerjaan/punca pendapatan dan dipotong gaji akibat pandemik;

iii. Bantuan tunai/ sara hidup minimum 6 bulan kepada golongan rentan, semua kelompok B40 dan diperluaskan kepada kelompok terbawah M40 (low M40);

iv. Menambahkan jumlah bantuan bulanan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mempertimbangkan syarat lebih fleksibel agar lebih ramai dapat dibantu;

v. Menambah peruntukan dan memperluaskan Program Subsidi Upah bagi menyelamatkan pekerjaan khasnya di sektor PKS, dengan syarat lebih fleksibel serta jumlah subsidi ditambah mengikut kadar pemulihan setiap sektor ekonomi;

vi. Moratorium pinjaman bank, serta agensi-agensi pinjaman kerajaan seperti MARA dan PTPTN dilanjutkan selama 6 bulan lagi kepada semua peminjam dengan syarat lebih fleksibel dan kiraan kadar faedah lebih adil bagi mengurangkan bebanan kepada peminjam;

vii. Pengecualian sewa 6 bulan bagi premis-premis perniagaan di bangunan kerajaan; dan

viii. Rebat selama 6 bulan bagi semua bil utiliti sama ada elektrik, air, telefon dan internet.

3. Wanita, Kanak-kanak & Warga Emas

i. Peruntukan khas dan elaun tambahan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap negeri untuk terus beroperasi secara optimum serta meningkatkan kapasiti Talian Kasih 15999 sepanjang tempoh lockdown bagi memastikan akses perlindungan dan kebajikan wanita, kanak-kanak dan warga emas terjamin;

ii. Peruntukan tambahan daripada RM21 juta kepada sekurang-kurangnya RM50 juta untuk penubuhan Pusat Perlindungan Sosial Setempat bagi pemandiri keganasan yang seharusnya telah siap untuk memenuhi keperluan dalam tempoh lockdown ini;

iii. Bantuan kewangan dan perlindungan sosial mencukupi disasarkan terus ke semua peringkat keluarga khususnya kumpulan B40 dan M40 di kawasan bandar yang mencatatkan statistik keganasan lebih tinggi bagi menangani tekanan ekonomi keluarga kesan pandemik;

iv. Dana Khas segera kepada agensi-agensi, pertubuhan-pertubuhan wanita dan badan-badan komuniti sebagai barisan hadapan mencegah keganasan dalam komuniti, untuk memberi bantuan segera kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas mangsa penderaan dan keganasan dalam tempoh lockdown;

v. Penambahan dana bersasar terus kepada pemandiri keganasan ke arah pengupayaan dan kehidupan berdikari setelah keluar dari kitaran keganasan;

vi. Bantuan tunai/ sara hidup dan psikososial kepada ibu tunggal, ibu tinggal dan warga emas tinggal sendiri; dan

vii. Elaun segera bagi perkhidmatan jagaan anak-anak bagi frontliners yang bertugas sepanjang tempoh lockdown.

Orang ramai beratur panjang di sebuah pasaraya di mukim Serendah, Hulu Selangor semalam iaitu tiga hari sebelum sekatan pergerakan penuh dilaksana.

4. Pendidikan

i. Bantuan tunai minimum 6 bulan kepada pengusaha bas sekolah, pengusaha kantin, pekerja pembersihan, tukang kebun dan pekerja-pekerja harian dalam sektor pendidikan;

ii. Menyegerakan bantuan 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 dan menambah peruntukan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penerima;

iii. Peruntukan segera menambah baik akses internet di sekolah bagi keperluan guru-guru yang mengendalikan kelas PdPR atas talian; dan

iv. Meningkatkan subsidi dan rebat internet bagi meringankan beban kos pembelajaran atas talian PdPR khususnya bagi masyarakat luar bandar, golongan B40 dan kelompok terbawah M40.

Lebih 23,000 murid sekolah bawah umur 12 tahun dijangkiti Covid-19 tahun ini.

Kami berpendirian sekiranya kerajaan PN gagal memastikan agihan bantuan komprehensif bagi edisi lockdown kali ini maka negara bakal berdepan bukan saja dampak negatif ke atas ekonomi malah bakal mencetus krisis sosial jangka panjang dengan kos lebih tinggi untuk dipulihkan pasca pandemik nanti.

Kami juga mengulangi gesaan-gesaan kami sebelum ini agar persidangan Parlimen dipanggil segera tanpa syarat bagi membolehkan segala perincian pakej bantuan kepada rakyat dapat dibahas dan diperhalusi oleh Ahli-ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat, di samping libat urus rentas parti bagi mencari solusi berkesan akan kebimbangan dan keresahan majoriti rakyat akibat pandemik.

Usah gadaikan nyawa rakyat kerana takut kehilangan kuasa politik.

*SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional.