Malaysia Dateline

‘Total lockdown’ tapi kini semua yang ada surat pergerakan diterima

Walaupun awalnya disebutkan sebagai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown), tetapi dilihat terlalu banyak kelonggaran di sana sini.

Selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan sejumlah 128, 150 syarikat untuk meneruskan operasi dalam tempoh ‘total lockdown’, polis pula kini menerima semua surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan oleh mana-mana jabatan dan kementerian.

Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (KDNKA) MV Srikumar M Nair memberitahu hal tersebut kepada semua anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).

Menerusi rakaman video pendek itu, beliau memaklumkan arahan tersebut datang daripada Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang baharu dilantik pada 4 Mei lalu.

“KPN telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan, baik daripada Miti, kementerian atau jabatan.

“Walaupun selepas dua tiga hari yang dikatakan diberi kelonggaran, kita tetap benarkan pemakaian surat ini,” kata Srikumar dalam rakaman yang tular sejak semalam dan turut dikongsi di laman Facebook Kementerian Pengangkutan.

Sehubungan itu, beliau berharap hal tersebut dapat dimaklumkan kepada semua bahagian yang menjalankan SJR.