Malaysia Dateline

Tour of Peninsular gegar Malaysia pada Oktober ini

Malaysia pertama kali diberi pengiktirafan untuk menganjurkan perlumbaan kelas 2.1 melalui jelajah berbasikal Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang akan berlangsung pada 15 hingga 19 Okt depan.

Ketua Pegawai Operasi ToP 2019 Emir Abdul Jalal berkata penganjuran ToP 2019 bukan menggantikan perlumbaan jelajah tertua negara iaitu Jelajah Malaysia, walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk berbuat demikian.

Katanya, pengajuran perlumbaan lima peringkat itu juga menawarkan pungutan mata yang agak besar dan istimewa kerana dilaksanakan di penghujung kalendar 2018/2019.

“Untuk perlumbaan kelas 2.1, kita boleh dapatkan pasukan profesional tapi buat permulaan kita akan dapatkan pasukan profesional benua. Saya difahamkan syarat terbaharu UCI kali ini, setiap pasukan profesional benua yang mahu daftar sebagai profesional perlu ada jumlah mata terkumpul tertentu yang ditetapkan.

“Memandangkan ToP dalam penghujung kalendar, akan ada pasukan yang akan sertai perlumbaan ini. Malah dua pasukan kita (Malaysia) Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) pula berpeluang mengungguli UCI Asia Tour,” katanya selepas pelancaran laluan ToP 2019  pada Selasa.

ToP 2019 bakal menyaksikan 120 pelumba mewakili 20 pasukan terdiri daripada profesional benua, pasukan benua dan pasukan kebangsaan berlumba sejauh 850.7 kilometer (km) membabitkan lima negeri bermula di Dungun, Terengganu dan berakhir di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meletakkan perlumbaan ini dalam kalendar program MySports Challenge yang akan diadakan sepanjang bulan Oktober iaitu Bulan Sukan Negara.

Katanya, pelbagai acara akan diadakan di setiap venue penamat perlumbaan dengan kerjasama setiap Jabatan Belia dan Sukan negeri dan daerah bagi memeriahkan sambutan Bulan Sukan Negara 2019.

“Pihak KBS berbangga kerana muncul sebuah lagi acara yang mewarnai industri sukan pelancongan negara kerana jelasnya acara ini bakal menarik minat media dari seluruh dunia untuk memberikan laporan berkenaan acara ini.

“Apa yang pasti, acara ini juga bakal membantu kerajaan dalam terus mewarnai kempen ‘Visit Malaysia 2020’oleh Kementerian Pelancongan,” katanya.

Berikut adalah laluan ToP 2019: 

Peringkat 1: Dungun – Kuala Terengganu (196.0km)

Peringkat 2: Kuala Terengganu – Kota Bharu (197.8km)

Peringkat 3: Pasir Mas-Gerik (200.0km)

Peringkat 4: Ipoh – Cameron Highlands (110.5km)

Peringkat 5: Tapah – Wangsa Maju (116.4km)

— BERNAMA