Tourism Malaysia, MAHB bekerjasama tingkat industri pelancongan

Tourism Malaysia, MAHB bekerjasama tingkat industri pelancongan

 Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meneruskan kerjasama dalam Program Pembangunan Pelancongan Bersama (JITDP) pada tahun ini susulan impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara melalui program itu pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata program itu menjana pulangan bagi pelaburan (ROI) sebanyak RM1.1 bilion pada tahun lepas, melebihi jangkaan asal sebanyak RM800 juta.

“JITDP telah dimulakan secara perintis bermula 2018 dan diteruskan pada tahun ini setelah pelaksanaannya membuahkan hasil memberangsangkan.

“Melaluinya, kedua-dua pihak akan bekerjasama  dalam meningkatkan kemasukan dan perluasan industri pelancongan sama ada dari luar atau dalam negara,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama tersebut di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Atas faktor berkenaan, Musa berkata kedua-dua pihak meneruskan kerjasama melibatkan suntikan dana sebanyak RM20 juta dengan separuh daripadanya diperuntukkan oleh Tourism Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin yang turut hadir berkata industri pelancongan dan penerbangan mempunyai perkaitan rapat dalam aspek memacu dan menjana ekonomi negara.

Beliau berkata  perkembangan itu menyaksikan sektor penerbangan menjana 3.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekali gus membuka 460,000 peluang pekerjaan.

Melalui kerjasama itu, katanya, MAHB berperanan menarik minat syarikat penerbangan untuk terlibat sama dalam program tersebut menerusi promosi pelancongan yang disediakan Tourism Malaysia.

— BERNAMA