Malaysia Dateline

Town Hall Kampong Baru: Maklum balas pemilik dan pewaris tampak positif

Suasana Sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad bersama pemilik dan pewaris tanah di kampung berusia 119 itu, berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas yang positif.

Khalid secara umumnya menyifatkan, pemilik dan pewaris tanah yang dihadiri kira-kira 2,500 orang kelihatan boleh bersetuju dengan pembangunan semula yang mahu dilaksanakan di kampung tersebut.

“Daripada perbahasan dan perbincangan yang dijalankan tadi, kita mendapati bahawa, isu utama adalah berkaitan harga tanah. Sejauh dan sebanyak mana kerajaan sanggup untuk membeli tanah mereka dalam kadar harga mengikut kaki persegi.

“Kadar yang telah kita tawarkan adalah berdasarkan kepada penilaian yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Itu adalah prosedur standard operasi (SOP) untuk kerajaan menawarkan harga berdasarkan kepada penilaian kami.

“Penilaian kita adalah pada kadar harga RM650 hingga RM850. Daripada penilaian itu, kita ambil harga tertinggi iaitu RM850 bagi satu kaki persegi,” katanya dalam sidang media Sesi Town Hall beliau bersama pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru, hari ini.

Shaharuddin Nordin

Sesi itu diadakan di Dewan Perdana Felda yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkarnain Hassan.

Sementara itu, pemilik tanah, Shaharudin Nordin, 70, memuji langkah yang diambil Khalid untuk membangunkan kampung tersebut dan sudah menandatangani borang pemilihan cara pulangan.

Noriah Osman

“Saya sebagai pemilik tanah mewakili adik-beradik memang bersetuju dengan pembangunan semula ini. Sekarang waris dan pemilik sudah mencecah 5,000 orang. Kalau tunggu lagi lama, lagi susah nanti.

“Saya percaya YB Khalid boleh melakukan pembangunan semula ini dengan kelulusan daripada Perdana Menteri dan juga di peringkat kabinet. Sekarang saya duduk di Gombak, nanti kalau Kampong Baru sudah dimodenkan, saya akan pindah semula ke kampung ini,” katanya ketika ditemui pada sesi itu.

Seorang lagi pemilik tanah, Noriah Osman, 50, menyifatkan town hall kali ini adalah lebih baik berbanding dua sesi sebelum ini, kerana dapat mengetahui secara terperinci mengenai pembangunan yang hendak dijalankan, faedah yang diperolehi oleh pemilik jika menjual tanah dan juga mengetahui secara jelas masa depan Kampong Baru.

“Tentang harga tanah itu pula, bagi saya ianya sangat berbaloi sebab kalau nak dibandingkan masa kami beli rumah dulu, harganya cuma RM5,000. Saya pilih pulangan secara tunai kerana ia akan selesai secara terus,” katanya.