Malaysia Dateline

Toyota Vellfire dirampas, lebih ramai pemimpin Pas akan disoal

Beberapa kenderaan mewah antaranya Toyota Vellfire, Range Rover dan Mini Cooper dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) hari ini.

Dilaporkan, sebuah rumah kedai, sejumlah wang tunai dan beberapa akaun bank turut dibekukan berhubung siasatan dakwaan bahawa Pas menerima RM90 juta daripada Umno.

Rumah kedai berkenaan dilapor bernilai RM2 juta manakala terdapat kira-kira RM2.3 juta dalam akaun bank.

Bagaimanapun, jumlah wang tunai yang dirampas tidak didedahkan.

Sumber memberitahu, kenyataan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan dirakamkan hari ini. Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut dikatakan tiba ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.20 pagi tadi.

Difahamkan lebih ramai pemimpin Pas dijangka akan disoal esok.

SPRM sebelum ini telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abdul Nik Abdul Aziz berhubung kes wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan dana itu tiada dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.