Malaysia Dateline

TPM digesa sahkan MP Lembah Pantai tidak terima peruntukan sejak 10 tahun

Fahmi Fadzil

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta mengesahkan sama ada Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dinafikan peruntukan pembangunan di kawasannya sejak 10 tahun lalu.

Ketua Angkatan Muda Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, kenyataan dibuat oleh Ahmad Zahid kononnya Nurul Izzah gagal melaksanakan tanggungjawan sebagai wakil rakyat di kawasan itu adalah dangkal.

“Jika dianggarkan peruntukan pembangunan berjumlah RM5 juta setahun, ia bermakna pihak Kerajaan Umno-BN telah dengan sengaja menafikan Ahli Parlimen Lembah Pantai peruntukan pembangunan sebanyak RM50 juta selama 10 tahun ini.

“Jika dilihat dari sudut pandang lain, RM50 juta itu adalah kos yang ‘dibayar’ Umno-BN untuk mewujudkan persepsi penduduk mengatakan janji parti yang mewakili kawasan Lembah Pantai tidak ditunaikan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan di buat oleh Ahmad Zahid selaku Pemangku Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN itu yang dipetik berkata, kerajaan BN memberi perkhidmatan kepada rakyat bukan secara bermusim seperti yang dilaksanakan pembangkang.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Jangan datang hanya ketika musim buah, itu sifat kelawar. Jangan juga datang pada waktu membajak kerana itu pesawah. Kita di Lembah Pantai, datang tidak kira musim.

“Hari besar (pilihan raya) atau tidak, kita akan tetap beri perkhidmatan kerana mengambil kira kepedulian kepada stakeholders (pemegang kepentingan), anak buah dan rakyat,” kata Ahmad Zahid ketika membuat lawatan ke ke Perumahan Polis Desa Aman 1 di Lembah Pantai pada Khamis.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, walaupun NUrul Izzah tidak menerima peruntukan pembangunan tersebut, namun beliau dan pasukan telah mengusahakan pelbagai program sejak 2008.

Katanya Nurul Izzah untuk warga Lembah Pantai termasuklah program-program perubatan percuma, kelas-kelas tuisyen, kaunseling untuk ibu bapa, bengkel-bengkel latihan, program ‘Food Bank’, dan terkini Biasiswa Pendidikan S Satiswaran untuk membantu anak-anak PPR melanjutkan pelajaran ke universiti.

Nurul Izzah juga telah bawa ke perhatian DBKL pelbagai masalah dan isu yang dibangkitkan rakyat, termasuk isu trafik dan pembangunan yang keterlaluan di sekitar Lembah Pantai, masalah-masalah infrastruktur di bawah seliaan DBKL seperti lif-lif PPR yang sering rosak dan jalan-jalan berlubang, serta bumbung pasar Taman Seri Sentosa yang telah terlalu lama bocor.

Nurul Izzah telah mengangkat pelbagai isu rakyat ke Parlimen, termasuk isu malnutrisi kanak-kanak PPR beliau sebut dalam ucapan pada 2016 dan dibangkit UNICEF dalam laporan minggu lalu, untuk berkata beliau tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat adalah satu fitnah yang nyata.

“Mengikut satu kajian yang saya lakukan, 100% responden yang merupakan anak tempatan Kerinchi dan Pantai Dalam berkata ini kali pertama mereka mendengar seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri menjejak kaki ke Desa Aman 1 sejak ia dibina pada 1995.

“Setelah 23 tahun dibina, pelbagai masalah dan isu yang dihadapi warga polis yang tinggal di Desa Aman 1 seperti masalah lif rosak, bumbung bocor dan macam-macam lagi akhirnya akan menerima perhatian Kerajaan Persekutuan, yang sememangnya pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini,” ujarnya.

Fahmi menegaskan lagi, sepatutnya Kerajaan termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor wajib tunaikan pelbagai janji yang dibuat selama ini, termasuk janji memasang jaringan keselamatan di semua PPR, serta menukar lif di Blok 102, PPR Seri Pantai yang sepatutnya siap pada Julai 2017

“Oleh itu, siapa yang sebenarnya gagal tunaikan janji?,” soalnya.

Justeru beliau yakin dengan pelbagai masalah yang membelenggu rakyat pada masa ini, termasuk GST dan kos harga barang yang meningkat serta skandal-skandal mega yang melanda negara, beliau yakin majoriti bersedia untuk mengekalkan Pakatan Harapan di Lembah Pantai pada PRU14 dan menjana perubahan di Putrajaya.

“Saya yakin ramai di kalangan mereka yang bersedia untuk memilih Pakatan Harapan di Lembah Pantai tidak mahu diganggu atau dikacau Umno, dan oleh itu mereka tidak akan memberitahu pengkaji-pengkaji Umno siapakah pilihan mereka yang sebenar sehingga tiba hari mengundi nanti.” tegasnya.