Malaysia Dateline

TPM lancar dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang melindungi hak asasi pekerja untuk mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif.

Beliau berkata dasar berkenaan yang dipersetujui Jemaah Menteri dan ditandatangani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

“Dasar ini mesti dihormati oleh majikan dan pekerja. Jika tidak, ini boleh mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Tindakan punitif akan diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan. Ia bukan lagi sekadar cakap-cakap, ” katanya ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 dan pelancaran DKKPN pada Rabu.

Tambah Dr Wan Azizah, dasar berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 dan merupakan sejarah baharu dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara.

DKKPN yang dilancarkan malam ini terpakai kepada semua tempat kerja, majikan dan pekerja yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan perlu disemak semula secara berkala.

Matlamat dasar berkenaan ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja Malaysia di samping meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Dalam ucapannya Dr Wan Azizah turut mengimbau kenangan sewaktu beliau menjadi doktor mata dan merawat seorang pekerja ladang kelapa sawit yang luka kelopak mata apabila daun kelapa sawit terjatuh menimpanya.

Tambah beliau, pada masa itu beliau terfikir apa jaminan keselamatan dan kesihatan untuk pekerja kelapa sawit berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata, semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja sendiri perlu berganding bahu dan memberi komitmen padu kepada DKKPN bagi mencapai matlamat budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran dalam ucapannya berkata, JKKP kini dalam fasa akhir pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Antara cadangan pindaan termasuklah menaikkan jumlah penalti maksimum bagi pelanggaran peruntukan perundangan dan memperkenalkan peruntukan perundangan yang lebih terperinci bagi menjelaskan isu seperti kewajipan kontraktor utama.

“Saya berharap agar pindaan akta ini dapat diluluskan oleh Parlimen pada tahun ini agar penguatkuasaan yang berkesan dan tegas dapat dilakukan,” katanya lagi.