TPPA akan sebabkan harga ubat naik, warga emas kini paling bimbang

Kerajaan telah pun menandatangani perjanjian TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement/perjanjian dagangan antarabangsa) baru-baru ini dan ini mungkin akan memberikan kesan yang boleh memudaratkan kuasa membeli pengguna ubat dari golongan yang miskin dan yang bergaji rendah.

Ini kerana harga ubat-ubatan nanti akan ditentukan oleh syarikat-syarikat korporat kuasa-kuasa besar dan ini bererti semua jenis ubat akan mengalami kenaikan harga.

Namun demikian, Kementerian Kesihatan telah menyeru rakyat supaya jangan bimbang kerana menurut kementerian tersebut, hak rakyat Malaysia untuk membeli ubat dengan harga yang berpatutan akan dilindungi dan dipertahankan oleh kerajaan.

Walaubagaimanapun, ada beberapa doktor telah berkata (melalui tulisan mereka dalam ruangan surat-menyurat dalam akhbar harian) bahawa dengan perjanjian tersebut harga ubat akan mengalami kenaikan disebabkan oleh undang-undang jenama di peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, siapakah yang harus rakyat percayai?

Penulis ini telah mewawancara beberapa jiran wargamas yang setiap bulan membeli ubat tekanan darah tinggi dan kolestrol dan mereka semua jelasnya sedang merasa bimbang bahawa tahun hadapan nanti akan menyaksikan harga ubat menjadi amat mahal.

Puan Ong yang berusia 70 tahun yang sudah lama mempunyai tekanan darah tinggi memberitahu kini harga ubatnya ialah RM160 setiap bulan tetapi tidak lama lagi mungkin akan berharga RM320 pula.

Seorang wargamas yang lain, Pakcik Omar bertanya adakah kerajaan kita berupaya berunding dengan kuasa asing supaya negara kita dapat menetapkan harga ubat secara berpatutan untuk semua golongan rakyat.

“Saya bimbang nanti kuasa barat yang ‘kontrol’ harga ubat di Malaysia,” ujar Pakcik Omar yang berusia 75 tahun.

Seorang pesakit angin ahmar (strok), Encik Gopalasamy yang juga berumur 75 tahun juga menyatakan kebimbangannya bahawa dengan perjanjian TPPA itu, kerajaan kita akan terpaksa tunduk kepada kuasa besar asing dalam isu menetapkan harga ubat.

Ibu penulis ini yang juga membeli ubat tekanan darah tinggi setiap bulan pada harga RM86 juga berasa bimbang bahawa harga ubat tersebut akan melambung naik sebanyak dua kali ganda.

Beberapa orang wargamas yang minum teh di kedai kopi Cina di Kepong yang ditemubual oleh penulis ini juga berkata mereka kurang yakin kerajaan kita akan dapat mengawal dan menetapkan harga ubat selepas perjanjian TPPA ditandatangani.

Pemilik kedai kopi Cina itu, Uncle Lum yang berusia 81 tahun berkata perjanjian itu kebarangkalian berat sebelah dan memihak kepada kuasa barat.  Justeru itu, negara membangun seperti Malaysia mungkin tidak dapat bersuara nanti apabila harga ubat ditetapkan oleh negara kuasa barat.

Adakah hak rakyat Malaysia untuk membeli ubat pada harga yang berpatutan dapat diperjuangkan dan dipertahankan oleh kerajaan kita yang berprihatin? 

Sama-samalah kita menantikan perkembangannya dengan harapan bahawa rakyat kita akan terus dapat membeli ubat dengan harga yang sama seperti sebelum TPPA ditandatangani kerana kerajaan kita kerajaan ‘Rakyat Didahulukan’, bukankah begitu?

TAGS