TPPA : Banyak tohmahan dan kebimbangan tidak berlandas fakta

TPPA : Banyak tohmahan dan kebimbangan tidak berlandas fakta

Banyak tohmahan dan kebimbangan terhadap pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) oleh pemimpin parti pembangkang dan sebahagian masyarakat tidak bersandarkan kepada fakta sebenar teks perjanjian itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Taklimat TPP  yang diberikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustafa Mohamed petang tadi.Banyak tohmahan dan kebimbangan terhadap pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) oleh pemimpin parti pembangkang dan sebahagian masyarakat tidak bersandarkan kepada fakta sebenar teks perjanjian itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sebahagian tohmahan dan kebimbangan mengenai TPPA yang digembar-gemburkan dibuat sebelum teks penuh TPPA dikeluarkan pada 5 November tahun lalu, apabila kandungan maklumat tidak tepat itu dibocorkan oleh Wikileaks.

“Sebelum keluar teks TPPA mereka rujuk maklumat kurang tepat dibocorkan Wikileaks. Selepas keluar teks TPPA, banyak pihak mula berpuas hati.

“Malangnya beberapa kritikan yang dibuat selepas teks dikeluarkan pula menunjukkan mereka tidak baca teks.

“Jadi sebelum nak buat bantahan (demontrasi). Jangan buat dakwaan berdasarkan emosi. Mereka kata kononnya, kita jual negara kepada AS, jual syarikat Malaysia, ini semua emosi.

“Kalau nak jual negara nak biar orang lain jajah semula sukarlah kerana kita sudah ada ilmu dan kemampuan,” katanya ketika menjawab pertanyaan diajukan Malaysia Dateline mengenai Demontrai Bantah TPPA  yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Beliau   berkata, teks TPPA ini merangkumi 30 bab dengan 6,350 muka surat. Sebanyak 595 muka surat adalah teks TPPA; 5,755 muka surat adalah lampiran bagi jadual akses pasaran bagi 12 negara TPPA, jadual syarikat milik kerajaan dan peraturan tempasal dan; 20 surat-surat sampingan yang dipersetujui secara dua hala mengenai isu lebih spesifik.

Jelas beliau  lagi perjumpaan Miti dengan pemimpin parti pembangkang diadakan pada Selasa lalu.

“Saya ucap terima kasih kepada wakil dan pemimpin pembangkang yang sanggup hadir dari pagi hingga petang  di Miti untuk mendengar sesi penerangan mengenai TPPA. 

“Jika pemimpin  dan ahli parti pembangkang menunjukkan sikap terbuka begini saya harap rakyat negara ini juga mempunyai sikap terbuka.

“Lihatlah TPPA sebagai perkara yang akan memberikan kesan positif jangka panjang kepada rakyat dan negara,” ujar Ahli Parlimen Jeli ini.

Ditanya terdapatnya dakwaan mengatakan kerajaan lewat mengadakan sesi taklimat dan tidak dilakukan secara menyeluruh Mustapa menafikan hal ini.

“Saya telah mengadakan taklimat kali pertama pada 1 Ogos 2013 dihadapan 1,500 orang, pernah buat di universiti, dua di  majlis perbandaran dan 300 sesi taklimat lainnya  sehingga 20 November 2015 lalu.

“Ada audien yang tidak setuju ada juga yang bersetuju. Kita amalkan sikap keterbukaan dengan pandangan dan kritikan. Sudah pasti kerajaan akan menimbang semula sebelum perjanjian ini dilaksanakan kelak.

“Jadi kalau mereka (parti pembangkang) mahu buat demontrasi bantah TPPA, sebagai negara demokrasi suka hati merekalah nak buat tetapi kita rasa tiada asas mereka berbuat demikian.

“Malah perkara terbaik yang dapat kita sama-sama putuskan dengan menubuhkan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang diwakili enam ahli parlimen kerajaan dan lima ahli parlimen pembangkang.

“Dengan adanya Kaukus Parlimen kita dah buat perjumpaan dengan ahli parlimen sebanyak 15 kali dan kali terakhir diadakan pada November 2015 lalu,” jelas beliau.

Malaysia dan 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Oktober 2015.

Pada 26 dan 28  Januari ini kandungan TPPA dan dua kajian impak  dilakukan  oleh  PricewaterhouseCooper Capital Sdn. Bhd  (PWC) dan Institut Kajian  Strategi dan Antarabangsa (Isis) akan dibentangkan dan dibahaskan oleh menteri di Parlimen memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan.

Kajian semula boleh dilakukan selepas tiga tahun tetapi jika benar TPPA tidak menguntungkan negara, katanya, Malaysia boleh  menarik penyertaan  pada bila-bila masa dalam tempoh  enam bulan selepas notis bertulis dikeluarkan.

Malaysia dijangka melaksanakan TPPA pada 2018.

TAGS