Malaysia Dateline

Tradisi Melayu lama diamalkan di sekolah Tamil

Tradisi Melayu lama seperti mengacau dodol menganyam ketupat perlu diteruskan serta difahami oleh semua lapisan masyarakat di negara ni.

Itulah pandangan yang diambil oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang hadir merasmikan program ‘Budaya Dikongsi Mengekal Tradisi 2019’ yang dianjurkan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seri Pelangi, Batu Pahat semalam.

Uniknya program dianjurkan oleh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Seri Pelangi sejak 3 tahun lalu yang mana murid-muridnya terdiri dari anak-anak masyarakat India.

Menurut Khairuddin keunikkan program ini adalah berkenaan dengan pembabitan kaum selain melayu yang mengamal tradisi turun temurun itu dan ini menambah nilai yang positif dalam pengamalan tradisi berkenaan.

“Uniknya program ini adalah berkenaan tradisi orang melayu yang diamalkan oleh kaum lain. Satu penghormatan terhadap tradisi melayu ini dan ia adalah suatu nilai positif yang berjaya diterapkan oleh tradisi kita.

“Antara contoh nilai baik yang ialah pemupukan kemasyarakatan serta merapatkan hubungan di antara kaum.

“Seperti program yang dianjurkan ini, ia mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk di sini dan kami juga tidak ketinggalan mendidik anak-anak semua bangsa untuk bersama dalam menjayakan program ini bagi mereka merasai bagaimana menghasilkan makanan tradisi ini,” katanya.

Selain itu, beliau yang merupakan Ketua Kelab Penyokong Kerajaan berkata segala kepandaian dan kreativiti masyarakat terdahulu perlu diturunkan kepada generasi masa depan.

Beliau juga berkata, tradisi tersebut perlu diwarisi supaya ia tetap segar sepanjang zaman dan mampu untuk mengekalkan keaslian masyarakat di Malaysia.

“Generasi masa depan mungkin tidak berpeluang seperti kita dahulu yang mana kita mampu untuk belajar berkenaan dengan adat, tradisi serta tata susila yang baik.

“Kita sebagai generasi sebelum ini perlu memupuk minat terhadap generasi masa depan agar ia sentiasa malar segar.

“Jika di negara maju sekalipun, tradisi mereka turut diterapkan dalam hari-hari kebesaran mereka. Contoh di negara barat yang mengekalkan tradisi mereka selain negara Jepun dan lain-lain negara maju,” katanya lagi.

Program itu juga turut mengundang murid-murid sekolah berdekatan yang terdiri dari murid-murid SJKC dan Sekolah Kebangsaan sekitarnya untuk turut serta.