Tradisi politik tinggi beri Amanah peluang besar di Kelantan

Tradisi politik tinggi beri Amanah peluang besar di Kelantan

Tradisi rakyat Kelantan yang berpolitik kelas tinggi memberi peluang besar Parti Amanah Negara (Amanah) untuk berkembang kukuh di negeri ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata peristiwa 1969, 1978 dan 1990 memberi amaran kepada sesiapa saja bahawa rakyat Kelantan mampu memberi gegaran luar biasa dalam dunia politik.

“Pada tahun 1959 ketika seluruh negara masih terkial-kial menghadapi tipu helah penjajah memastikan anak didik mereka melalui parti Umno-Perikatan mendapat kuasa penuh selepas merdeka, rakyat Kelantan telah memilih PAS, sebuah parti yang jelas menentang status-quo,” kata beliau ketika berucap merasmikan pejabat operasi Amanah di Jalan Hospital (berhadapan kompleks mahkamah) di Kota Bharu semalam.

Kecuaian PAS ketika menyertai Barisan Nasional katanya telah dihukum rakyat Kelantan melalui pilihan raya negeri 1978 hingga hanya meraih dua kerusi dan peristiwa ini disifatkan penganalisis politik sebagai menguburkan Pas dengan ‘dua batu nesan’.

Pada 1990 pula kata beliau, rakyat Kelantan mengejutkan dunia apabila menolak secara total Umno-BN apabila tidak memberi sebarang kerusi di peringkat Dun dan parlimen kepada parti yang dilihat amat sombong waktu itu.

“Apabila kerajaan PAS Kelantan dilihat tidak mesra rakyat terutama berkaitan hal pengurusan tanah pada 2004 pula, PAS hampir jatuh dengan kelebihan hanya satu kerusi di DUN waktu itu,” katanya.

Berdasarkan rekod-rekod ini, beliau yakin Amanah mempunyai peluang besar sebagai pilihan baru rakyat Kelantan pada masa depan.

“Parti Amanah akan memastikan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan parti-parti lama yang berkuasa sampai sekarang sama ada di Putrajaya ataupun di Kota Darulnaim,” ujarnya.

Penguasa Putrajaya katanya sudah berada di tahap nazak apabila pengurusan negara khususnya dalam pengendalian kewangan begitu teruk sehingga menimbulkan kegelisahan bukan sahaja di dalam malah di luar negara.

Orang ramai tambah beliau kini turut gelisah apabila kaedah pengurusan di Kota Darulnaim selepas ketiadaan Tok Guru telah berubah menjadi hilang peduli rakyat dan dibayangi pelbagai ketidaktentuan.

“Tiba-tiba perkara-perkara seperti dibangkit Datuk Husam Musa yang masih yang dipertua PAS Kubang Kerian menjadikan masyarakat tertanya-tanya masihkah pemimpin yang ada ini ingat segala pesanan dan panduan arwah Tok Guru,” soal beliau.

Majlis perasmian pejabat Amanah Kelantan di bangunan tiga tingkat berhampiran pejabat Mara itu diserikan dengan pelbagai acara meriah.

Pesiden Amanah dan jawatankuasa negeri telah menyertai perarakan teksi tradisi Kelantan (beca roda tiga) mengelilingi kompleks sekitar pejabat berkenaan.

Konvoi kelab kereta berhias MyVi pula turut memeriahkan acara perasmian itu.

Mohamad menyempurnakan sumbangan kepada pengayuh beca dan golongan miskin sebagai tanda prihatin terhadap masalah kos hidup rakyat.

TAGS