Tradisi TLDM lakukan perasmian, penamaan kapal baharu oleh isteri pemimpin, kata Kementerian Pertahanan

Tradisi TLDM  lakukan perasmian, penamaan kapal baharu oleh  isteri pemimpin, kata Kementerian Pertahanan
Isteri kepada Menteri Pertahanan, Normah Alwi ketika merasmikan kapal KD Keris di Wuhan China, semalam.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini tampil dalam satu kenyataan menjelaskan tentang isu yang tersebar di media sosial berkenaan upacara pelancaran dan penamaan kapal TLDM yang dirasmikan isteri kepada Menteri Pertahanan.

Penjelasan tersebut dikeluarkan ekoran kecaman dan ‘troll’ terhadap isteri Mohamad Sabu, Normah Alwi oleh rata-rata pengguna media sosial selepas beliau merasmikan kapal TLDM, Kapal Misi Persisir (LMS), di China semalam.

Menurut kenyataan TLDM, pelancaran yang dilakukan kan oleh seorang wanita atau isteri kepada pemimpin merupakan tradisi yang dilaksanakan sejak penubuhan Royal Navy dan telah disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.

“Lady Sponsor atau wanita yang terpilih adalah terdiri dalam kalangan isteri kenamaan seperti isteri kepada Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan kerabat diraja atau Sultan.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita yang berkaitan dengan negeri tersebut akan dipilih. Sebagai contoh, kapal KD Kedah telah dinamakan oleh Yang Amat Mulia Dato’ Seri Tengku Puteri Intan Safinaz, Puteri Sultan Kedah.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama tersebut atau wanita kenamaan dari negeri tersebut akan dipilih. Sebagai contoh, kapal Littoral Combat Ship (LCS) 1 ialah Maharajalela yang telah dinamakan oleh Raja Permaisuri Perak.

“Manakala bagi kapal-kapal selain daripada nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, sebagai contoh kapal KD Tunku Abdul Rahman telah dinamakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Pertahanan pada masa itu, Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya.

Malah, tambah kenyataan itu, pada 2013 KD Teguh Samudera telah namakan Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang pada ketika itu adalah isteri kepada mantan PM ke-4 Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru katanya, upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama TLDM yang telah disempurnakan oleh Normah Alwi di Wuhan, China semalam merupakan upacara tradisi yang diamalkan selama ini oleh TLDM dan gelaran Lady Sponsor kepada isteri Menteri Pertahanan adalah perkara yang biasa dilaksanakan.

Majlis diadakan itu turut dihadiri Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza bin Mohd Sany, Pengarah Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali (Bersara), pihak pengurusan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) serta China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Keris, kapal LMS bernombor pennant 111 bakal menjalani pelbagai ujian penerimaan di pelabuhan dan di laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada Disember 2019.

Tonton video: Di Sini