Trafik tinggi punca MyJPJ sukar diakses, Anthony tegaskan ianya hanya bersifat sementara

Oleh KIM SYAZIE

Baru sahaja dilancarkan semalam, pengguna aplikasi telefon pintar, MyJPJ telah berdepan dengan kesukaran.

Walaupun dihujani dengan pujian, terdapat pengguna yang mengeluh kerana gagal mendaftar masuk ke dalam aplikasi.

Kekesalan tersebut diluahkan oleh pengguna aplikasi itu di media sosial dimana ramai yang menerima notifikasi ‘connection error’.

Namun yang demikian, rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega kerana masalah tersebut hanyalah bersifat sementara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Menurutnya, kesulitan itu dihadapi pengguna berikutan ramai yang melayari aplikasi tersebut pada masa yang sama.

Hal ini menyebabkan pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses aplikasi ekoran aliran trafik yang tinggi.

Tambah Anthony, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperbaiki sebarang kelemahan.

“Seperti mana-mana sistem yang baru, sudah tentu ramai orang ingin mendaftar pada masa yang sama. Trafik yang sangat tinggi.

“Saya bersama pasukan saya di kementerian pengangkutan dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perbubahan ini,”katanya.

Anthony semalam mengumumkan perlaksanaan digitalisasi melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.

Usaha ini membenarkan rakyat Malaysia menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

Baca juga: Kalau malas nak keluar rumah ambil barang, pemuda nasihat jangan guna kaedah COD