Pemuda AMANAH Nasional mendesak agar pendakwaan berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disegerakan setelah proses siasatan berkaitan selesai.
Naib Ketuanya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata langkah itu mesti disegerakan demi meredakan keresahan rakyat Malaysia terutama sekali bagi memberikan keadilan kepada keluarga Allahyarham.
“Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa sangat dukacita atas kematian anggota bomba dan penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
“Kematian beliau sebenarnya telah memberikan satu isyarat penting kepada tahap ekstremisme dalam negara kita yang sangat membimbangkan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuhkan kesatuan nasional agar kemandirian negara dapat terus dipertahankan.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional, jelasnya, turut menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib sekiranya perlu dalam menghadapi proses perundangan pada masa akan datang.
“Bagi Pemuda AMANAH Nasional, kematian Allahyarham adalah akibat daripada ekstrimisma dan siapa pun yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung harus dibawa ke muka pengadilan,” tegas Wan Anwar lagi yang juga merupakan peguam.
