Tragedi Christchurch: Serangan terjadi disebabkan pegangan ideologi pengganas

Tragedi Christchurch: Serangan terjadi disebabkan pegangan ideologi pengganas

Pakar Keselamatan Antarabangsa dan Anti-Keganasan Universiti Malaya (UM), Dr Balakrishnan RK Suppiah menyifatkan, serangan berdarah dua masjid di Christchurch, semalam sebagai sesuatu yang amat teruk.

Dr Balakrishnan berpandangan, serangan boleh terjadi disebabkan ideologi yang dipegang oleh pengganas dan pergerakkan mereka juga sukar untuk dijangka.

Katanya, pengganas terbabit (Brenton Tarrant) dikategorikan sebagai ‘lone wolf’ (pengganas yang suka bergerak secara solo).

“Lebih tepat lagi, dalam serangan ini, Tarrant seorang yang anti-imigran dan mungkin dia ini ada perasaan rasis. Dia juga memilih untuk menyerang di kawasan yang ramai imigran dari Asia.

“Saya tak pernah terfikir Christchurch akan menjadi sasaran pengganas sebab pada pendapat saya, di New Zealand keadaan politiknya stabil dan dasar kerajaan juga baik.

“NZ juga bukanlah negara yang anti kepada Islam. Mungkin pada mulanya pengganas ini menyasarkan Australia sebagai lokasi serangan, tetapi beralih ke New Zealand,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline berhubung serangan mengejutkan itu.

Sementara itu, di Malaysia pula secara amnya, Dr Balakrishnan berpandangan pasukan keselamatan perlu menguatkan risikan dan pengawasan terutamanya membabitkan kawasan beli-belah dan juga rumah ibadat.

“Mungkin perkara ini tidak berlaku di negara kita, tetapi pemantauan rapi perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Seperkara lagi, dasar kerajaan untuk membantu golongan B40 juga perlu dijaga dengan baik… jangan ikut kaum dan jangan wujudkan unsur kebencian… keharmonian sesama rakyat perlu diterapkan.

“Saya juga melihat serangan di Christchurch itu tidak bersesuaian jika hendak dibandingkan dengan konteks di Malaysia,” ujarnya.