Tragedi Christchurch: Tragedi hitam keamanan sejagat

Tragedi Christchurch: Tragedi hitam keamanan sejagat

Seluruh dunia gempar dengan tragedi tembakan yang berlaku terhadap dua buah masjid di Jumaat di Christchurch, New Zealand yang mana ianya merupakan tragedi hitam terhadap dunia kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Kejadian yang berlaku ini benar-benar mendukacitakan masyarakat dan menunjukkan seolah-seolah murahnya nyawa manusia apabila menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut serta berpuluh-puluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas.

Fakhrul Razi Hamdan

Lebih malang lagi kejadian berlaku dalam keadaan suasana masyarakat Islam yang sedang dalam persiapan untuk menunaikan ibadah dalam sebuah negara yang diiktiraf antara negara teraman di dunia.

Empat rakyat Malaysia juga disahkan terlibat menjadi mangsa dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch ini dengan tiga daripadanya cedera dan seorang masih belum dapat dikesan.

Mahasiswa AMANAH menyatakan rasa sedih dan kesal dengan tindakan tidak bertamadun dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang meragut nyawa orang awam.

Masyarakat di Malaysia digesa bersama-sama masyarakat antarabangsa mengutuk tragedi serangan pengganas yang telah mencabuli nilai-nilai manusiawi ini.

Perbuatan menyerang masjid yang merupakan sebuah rumah ibadah tidak patut berlaku. Dalam keadaan perang sekalipun tidak ada mana-mana undang-undang yang membenarkan untuk menyerang rumah ibadah.

Kami melihat tragedi yang berlaku ini juga lebih menjurus kepada sikap dendam penyerang dan kebencian yang melampau terhadap agama Islam akibat menganuti fahaman ekstrem bersifat perkauman.

Jelas di sini fahaman ekstrem dan perkauman seumpama ini mampu memberikan ancaman kepada keamanan sesebuah masyarakat dan negara.

Justeru, Mahasiswa AMANAH mengajak semua masyarakat berdoa akan kesejahteraan mangsa-mangsa yang terkorban dan menyatakan simpati kepada mangsa-mangsa tragedi hitam ini.

Kita juga berharap tragedi seumpama ini tidak lagi berulang berlaku di mana-mana tempat kerana jelas melanggar norma-norma masyarakat yang cinta akan keamanan.

* Penulis merupakan Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional.