Malaysia Dateline

Tragedi di Pasir Gudang petanda kelemahan urus tadbir alam sekitar

Trajedi yang berlaku di Sungai Kim-Kim adalah kelemahan dalam urus tadbir berkaitan dengan isu alam sekitar yang telah mendatang kesan yang negatif kepada masyarakat setempat, kata Adun Senggarang Khairuddin A Rahim.

Beliau berkata, tahap kesedaran mengenai alam sekitar perlu dipertingkatkan agar tragedi pembuangan sisa kimia di Sungai Kim-Kim tidak berulang di beberapa sungai lain di negeri itu.

“Kita boleh lihat baru-baru ini pelbagai peristiwa yang kronik berkenaan alam sekitar telah berlaku di negeri ini dan ini adalah suatu ‘wake up call’ kepada semua untuk bersungguh-sungguh dalam memulihara alam sekitar.

“Saya tidak nafikan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani permasalahan alam sekitar namun ia dilihat seperti tidak cukup sehingga mimpi ngeri seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim ini boleh terjadi.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada pihak tertentu, apa yang penting hari ini adalah suatu usaha untuk mengembleng tenaga dalam memulihkan semula alam sekitar yang tercemar di negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau yang juga merupakan pejuang alam sekitar berkata, tahap kesedaran masyarakat dan pihak kerajaan adalah sangat penting bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Beliau berkata, selain itu pemulihan perlu segera dilakukan kerana apa yang berlaku di Sungai Kim Kim juga boleh berlaku di kawasan-kawasan lain antaranya Sungai Tukang Batu yang kini berada di tahap yang kelima.

“Sungai Kim Kim sebelum ini berada di tahap ketiga dan kini secara langsung ia meningkat ke tahap yang kelima.

“Bagaimana pula dengan sungai-sungai yang berada di tahap empat yang berpotensi menyumbang kepada perkara yang sama seperti yang berlaku pada Sungai Kim Kim.

“Selain di Sungai Kim-kim isu seperti yang berlaku di Sungai Sibol Bandar Tenggara perlu juga menjadi perhatian oleh pihak berwajib.

“Pemantauan untuk pemulihan ini perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera serta kerajaan dicadangkan untuk bertegas dalam menangani hal ini tanpa kompromi dengan pelbagai pihak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha pelbagai pihak baik dari pihak kerajaan, jabatan, agensi, ngo dan orang ramai dalam turut bersama-sama membantu menangani pencemaran di Pasir Gudang.