Malaysia Dateline

Tragedi dua beradik rentung, Ibu bapa keluar 3 pagi rupanya cari makan sebab mengidam

Siapa menyangka keputusan untuk keluar makan bersama suami dikala anak sudah tidur menjadi mimpi ngeri buat pasangan yang kehilangan dua insan tersayang sekaligus dalam insiden kebakaran.

Kejadian yang berlaku di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, Gombak, awal pagi semalam meragut nyawa dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, tujuh tahun.

Menurut nenek mangsa, Normala, 48, anak dan menantunya tidak membawa bersama dua beradik itu kerana mereka sudah tidur.

“Saya menerima panggilan jam 4 pagi mengenai kejadian itu.

“Ketika kejadian, anak saya dan suaminya pergi keluar makan jam 3 pagi kerana anak saya yang mengandung mengidam nak makan.

“Saya tidak sangka kegembiraan minggu lalu ketika menyambut hari jadi datuk mereka adalah kenangan terakhir bersama,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Datuk mangsa, Lokman Marni, 53 pada masa sama sering mengingatkan ibu bapa mangsa untuk tidak mengunci pintu jeriji jika keluar ke mana-mana kerana bimbang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya katakan kepada mereka, jangan kunci pintu jika keluar kerana bimbang insiden tidak dijangka seperti kebakaran atau apa saja.

“Saya sangat sedih apabila hilang dua cucu sekali gus, ketika mereka sedang menunggu kehadiran bakal anak ketiga dalam masa sebulan lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, keterangan ibu bapa mangsa diperlukan sebagai proses siasatan.

“Polis akan merakam percakapan mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Mayat dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik utama kediaman berkenaan.

Baca Juga: Ada yang ‘okay’, ada yang takut dengan telur import India