Malaysia Dateline

Tragedi feri Triso: AMANAH Sarawak rakam takziah kepada waris mangsa

AMANAH Sarawak dengan rasa hiba dan sedih merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang kehilangan keluarga dalam tragedi feri Triso semalam.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, kemalangan yang mengorbankan sembilan nyawa itu amat menyayat hati lebih-lebih lagi kehilangan keluarga tersayang terutama membabitkan kanak-kanak dan bayi.

“Petang semalam kita digemparkan dengan satu kemalangan maut menyayat hati yang berlaku di feri Triso apabila pacuan empat roda dikhabarkan terjatuh di dalam sungai yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk kanak-kanak dan bayi.

“Ia amat menyedihkan kita semua apatah lagi kepada waris-waris yang kehilangan keluarga tersayang serta sukar digambarkan dengan segala luahan kata-kata.

“Justeru, semoga waris tabah menghadapi musibah yang berat ini dan AMANAH Sarawak menyusun jari memanjatkan doa kepada Allah semoga roh-roh mereka di tempatkan bersama para syuhada,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hud Andri Zulkarnaen

Dalam masa sama, Hud Andri menegaskan, AMANAH Sarawak mendesak pihak berkuasa segera menyiasat punca kemalangan yang meragut nyawa itu serta-merta.

“Siasatan ini penting bagi mengenalpasti punca kemalangan agar langkah-langkah keselamatan serta tindakan drastik boleh diambil dengan kadar segera agar mampu mencegah kemalangan seumpama ini berulang kembali,” tambahnya.

Malah, katanya AMANAH Sarawak juga mencadangkan pihak berkuasa dapat membina pagar penghadang di setiap bahu jalan memasuki feri supaya ia dapat menghalang kenderaan dari terhumban ke sungai sebelum memasuki feri.

Dalam kejadian petang semalam, sembilan orang telah terkorban berikutan kenderaan jenis Hilux yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sungai di pangkalan feri Triso.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mereka ialah pemandu, Ronany Ting berumur 33 tahun, Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad Mohd Hamdan, empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd. Hamdan, 5, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Wallace Phang, 7, Alvin Phang, 12, Khairunnisa Muhamad, 14, dan Nor Shuhada Mohamad, 16.

Ketika kejadian, kenderaan dinaiki mangsa terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan itu datang dari arah Beladin hendak menaiki Feri Batang Lupar, dekat Sebuyau.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sibu ke Kuching.

Semua mayat dibawa di Klinik Kesihatan Beladin dan kematian mereka disahkan pada jam 7.00 malam semalam.