Tragedi Memali tidak patut diremehkan, kata Khalid Samad

Tragedi Memali tidak patut diremehkan, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berpendapat tragedi Memali di Baling, Kedah pada tahun 1985 tidak wajar diremehkan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, perdamaian antara Pas dan Umno tidak akan mengubah realiti bahawa peristiwa berdarah mengorbankan 18 individu iaitu 14 orang kampung dan 4 anggota polis itu tetap pernah berlaku.

Mengakui terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas,Takiyuddin Hassan bahawa tragedi Memali kini “menjadi kecil” dengan penyatuan ummah antara Pas dan Umno, Khalid berkata, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut.

“Dengan kenyataan sebegitu rupa, seolah-olah memberikan gambaran bahawa peristiwa itu berbaur politik semata-mata, dan apabila dah berdamai dua parti politik yang terlibat, maka dah tak jadi isu.

“Sedangkan nyawa terkorban di pihak polis, dan juga di pihak orang kampung. Tak sepatutnya peristiwa sebegitu rupa diremehkan. Saya cukup dukacitalah kalau benar Takiyuddin mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan Umno dan Pas pada sidang media Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC semalam berkata, tragedi tersebut sebagai “takdir” yang harus diterima seadanya.

Peristiwa Memali turut menyaksikan puluhan orang tercedera manakala 159 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam operasi yang dipanggil oleh polis sebagai Operasi Angkara/Operasi Hapus itu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh ketika pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis.