Malaysia Dateline

‘Tragedi pembunuhan Adib’: Asyraf persoal kenapa tidak siasat YB-YB DAP

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat beberapa pemimpin DAP yang dianggap mencetuskan kemarahan penganut Hindu hingga berlaku rusuhan ganas di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada November 2018 disiasat.

Menurut Ketua Pemuda Umno berkenaan, sentimen kemarahan itu dimulakan dengan Exco Selangor, V Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning dari DAP.

“Kenapa tidak siasat dan dakwa YB-YB DAP yang terawal cetuskan dan bangkitkan kemarahan kaum India beragama Hindu?

“Bermula dengan kenyataan YB DAP Ganabatirau pada pagi setelah kejadian pergaduhan antara gangster yang diupah pemaju dengan Pemilik Kuil, yang menghasut di Facebook beliau mendakwa orang Islam menyerang Kuil Sri Mariaman Seafield (sebelum dipadamkan).

“Kemudian sebelah tengah hari Menteri-Menteri India PH membuat kenyataan bersama di Parlimen meragui tindakan polis yang kononnya tidak mampu mengawal keselamatan,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sidang media oleh sekumpulan menteri dan Ahli Parlimen PH pada 26 November 2018 itu menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendakwa polis daerah Subang Jaya mengeluarkan kenyataan salah apabila mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India mengenai perpindahan kuil.

Turut hadir pada sidang media itu Dr Xavier Jayakumar (bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; )Gobind Singh Deo (bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia); M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia); Ahli Parlimen Jelutong, R S Rayer, bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar serta Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

“Akhirnya, pada malam kedua (27 November 2018) itulah, 10,000 orang India keluar dengan perasaan marah untuk mempertahankan Kuil Sri Mariaman sehingga berlakunya Tragedi Pembunuhan Arwah Adib!” tegas Asyraf.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini menyegerakan sisatan dan pendakwaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam tragedi menyayat hari hingga terbunuhnya anggota bomba arwah Adib.

Cedera teruk

Allahyarham yang ketika itu berusia 24 tahun mengalami cedera teruk di dada, buah pinggang, tulang rusuk serta paru-paru dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak kuil tersebut.

Beliau kemudiannya dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selama 21 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam, Isnin, 17 Disember 2018.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu pada 10 Julai 2020 berkata, tiada seorang pun saksi yang nampak Muhammad Adib dipukul termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan Allahyarham.

Setakat 13 Julai 2020, polis telah merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika inkues serta 52 saksi baharu.

Dalam tempoh sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga memberitahu jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 108 orang membabitkan 61 kertas siasatan.

Reaksi Abdul Hamid itu susulan dakwaan keluarga Allahyarham Adib bahawa polis tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019.

Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib berpunca perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tidak dikenali serta bertindak ganas dan berniat jahat kepada Allahyarham.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29 yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa Adib dihentak dan diseret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) boleh diterima dan mempunyai asas selain formula yang digunakan dalam eksperimen berkenaan pengiraan daya yang menyebabkan kecederaan trauma tumpul di dada mangsa disokong saksi ke-30, pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, teori dikemukakan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Adib keluar sendiri dari van EMRS dan dilanggar hingga terhumban ke kiri jalan adalah ditolak selain formula digunakan dalam kecederaan dada Muhammad Adib, adalah menolak hukum fizik.

Bapa Adib juga memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas pada 16 Julai 2019 ekoran afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April 2019.

Tommy menyatakan bahawa kematian Adib bukanlah dipukul oleh mana-mana orang.