Malaysia Dateline

Tragedi Sungai Kim-Kim mengundang kemarahan pejuang alam

Tragedi pencemaran udara akibat pembuangan sisa dari kilang di Sungai Kim Kim Pasir Gudang Johor telah mendapat reaksi yang negatif dari pejuang alam sekitar.

Menurut Adun Senggarang yang merupakan Felo Alam Sekitar, Khairuddin A Rahim berkata tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut telah membuktikan betapa kroniknya tahap sungai di kawasan industri di sekitar Johor.

Khairuddin A Rahim

Sebelum ini beliau yang memperjuangkan isu ini di dalam Dewan Negeri (Dun) merasakan perkara ini adalah suatu ‘wake up call’ kepada pengusaha serta penggiat industri.

Beliau berduka cita di atas apa yang berlaku baru-baru ini di sebuah sekolah di Pasir Gudang Johor dan merasakan sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan menangani permasalahan pencemaran ini.

“Sungai-sungai di Johor perlu ada suatu sistem pengawalan secara menyeluruh. Kerajaan juga perlu bertindak untuk menimbang bagi memperketatkan akta dan undang-undang pembuangan sisa industri dan sebagainya.

“Selain itu, penambahan akta-akta yang ada supaya menambah hukuman bagi pembuang sisa-sisa pepejal perlu dikuatkuasakan.

“Setiap sungai-sungai utama di Johor khususnya, perlu mempunyai sistem ‘telemetry polution detection’ agar pengawasan serta pengawalan dapat dilaksanakan secara semasa,” kata beliau ketika dihubungi di pejabatnya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan isu Sungai Kim Kim, beliau menyatakan suatu kajian yang menyeluruh dibuat ke atas sungai tersebut serta sungai-sungai berdekatan industri yang lain bagi mengukur tahap keselamatan sungai-sungai berkenaan.

Selain itu beliau turut menyatakan pembangunan yang memberi kesusahan kepada rakyat adalah suatu perkara yang merugikan selain kos yang ditanggung oleh kerajaan ia juga akan memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Saya menyeru pihak berkuasa yang terlibat dalam meluluskan sebarang projek atau program pembangunan menyemak semua syarat kelulusan supaya ia lebih mesra alam sekitar.

“Pengusaha-pengusaha perlu diberi kefahaman dan kesedaran berkenaan dengan kepentingan mengekalkan kelestarian alam sekitar bagi menjamin kesinambungan hidup sihat untuk generasi akan datang.

“Selain itu pembabitan Ngo-ngo alam sekitar dinaik taraf bagi menjaga sungai-sungai tertentu atau sebagai ranger. Dalam pada masa yang sama kerajaan perlu juga menjalankan sistem ‘dimerit point’ kepada syarikat dan industri supaya tindakan undang-undang dapat dijalankan dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji atas keberjayaan serta ketangkasan pihak Jabatan Alam Sekitar yang bertindak dengan baik bagi menangani isu di Sungai Kim Kim tersebut.