Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil secara peribadi berpandangan bahawa beberapa babak dalam filem Pulau yang menjadi kritikan ramai agak tidak sesuai untuk ditayangkan
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi pihak Golden Screen Cinemas (GSC) untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kelulusan diberikan kepada filem Pulau yang kontroversi ketika ini.
Beliau berkata, pihak penerbit filem itu telah pun membuat keputusan untuk menarik balik trailer filem asal dan akan menyediakan suntingan babak yang baru.
“Saya difahamkan bahawa berdasarkan laporan yang sampai kepada saya, berkemungkinan ada babak yang sudah dipotong dalam filem sebenar, digunakan di dalam trailer berkenaan.
“Tapi saya tak boleh cakap lebih, saya mohon berhubung dengan pihak LPF,” katanya ketika ditemui media dalam tayangan filem Duan Nago Bogho di Petaling Jaya.
Pada masa sama kata Fahmi, Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang meluluskan filem Pulau itu bukan di bawah kementeriannya.
Beliau turut meminta agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di masa hadapan juga mengambil bahagian untuk meneliti dan mengkaji filem-filem tempatan yang bakal diterbitkan
“Kita tak nak jadi seperti ini. Kelulusan itu diberi tanpa penelitian yang khusus. Saya rasa perlu ada penelitian,” katanya lagi.