Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu pelaksanaan sebagai dasar baharu agenda ekonomi Bumiputera.
Pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) menggariskan tiga matlamat iaitu keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa serta kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Memetik Berita Harian, Ahmad Zahid menjelaskan TEB adalah satu dasar baharu yang progresif bertujuan merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jika KEB (Kongres Ekonomi Bumiputera) pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya suka mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kita melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.
“Melalui transformasi ini, kita mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan.
“Malah ia juga bertujuan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Tiga matlamat utama TEB
Antara matlamat utama TEB adalah memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin pembabitan serta hak Bumiputera tetapi pada masa sama mewujudkan kesalingan atau sinergi dengan bukan Bumiputera kerana kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara.
Tambahnya DEB tidak mahu aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum. Tembok tersebut berjaya diruntuhkan apabila kaum bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, cina dengan gelaran saudagar dan India tidak berlegar di perladangan.
“Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan, menuntut semua kaum berganding bahu membangunkan negara.
“Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.
“Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti.
“Dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial kerana keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya.
Peranan agensi amanah Bumiputera akan lebih terkehadapan
Pada masa sama, melalui TEB kerajaan akan terus memastikan peranan agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor ekonomi.
“Dengan kita memberikan fokus serta memperkemaskan inisiatif sedia ada, TEB diyakini mampu mengatasi cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi dan membuka pintu ke jalan kemajuan lebih luas bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Baca juga: Rafizi kongsi detik diejek ‘MP pondan’, gimik keluar dewan bukti pembangkang gagal berfungsi