Transformasi peraturan sidang parlimen perlu disegerakan

Transformasi peraturan sidang parlimen perlu disegerakan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rata-rata anggota Parlimen Amanah menyambut baik cadangan pindaan terhadap Peraturan-peraturan mesyuarat, persidangan Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan usul itu di Dewan Rakyat, 7 April lalu.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud [Amanah-Kota Raja], berkata berdasarkan pemerhatiannya di negara luar, jawatankuasa tersebut perlu disegerakan bagi penambahbaikan Parlimen di negara ini.

“Baru-baru ini saya dapat peluang bersama di dalam mesyuarat CPA di UK dan saya sangat gembira bila melihat semua parti yang ada dalam isu-isu tertentu terutamanya dalam isu hak kemanusiaan dan wanita.

“Mereka ada kaukus peringkat jawatankuasa itu dan akhirnya apa yang dibawa ke Parlimen itu boleh dikatakan yang telah dipersetujui bersama.

“Jadi, di dalam Parlimen itu sendiri dengan mudah maknanya perkara itu diluluskan dan keputusan yang diambil itu adalah memang untuk kepentingan negara, kepentingan komuniti tertentu dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan transformasi sistem Parlimen itu juga, Khalid Abd Samad [Amanah-Shah Alam] menekankan pentingnya perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung dalam jangka waktu yang munasabah.

“Sebenarnya isunya bukan jumlah hari sama ada 50 atau 60, 70. Itu persoalan kedua. Apa yang terpenting ialah supaya kita berbahas pada waktu yang munasabah iaitu mungkin paling tinggi dan paling lama pun mungkin sampai pukul 7 malam.

“Akan tetapi tidak payahlah sampai pukul 12 malam ataupun pukul 4 pagi dan sebagainya. Oleh sebab kita hendak tentukan bahawa sesuatu keputusan itu yang dibuat itu hasil daripada satu perbahasan yang baiklah, bukan dalam keadaan yang letih dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selaku anggota Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan pembentangan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) berkata, pindaan peraturan itu merupakan satu daripada tiga fasa penambahbaikkan Dewan Rakyat.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, fasa pertama membabitkan penambahbaikan Peraturan Mesyuarat di bawah bidang kuasa Parlimen Malaysia dan tidak melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Fasa kedua pula penambahbaikan yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan fasa ketiga adalah mendapatkan input-input dari pakar luar bagi memperkemaskan lagi penambahbaikkan yang dicadangkan,” katanya sebelum usul tersebut kemudiannya dipersetujui anggota dewan.

TAGS