Bila bab pinjam wang tidak kiralah jumlah sedikit atau banyak pastikan fikir terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan.
Orang bila terdesak ni, segala janji manis dikeluarkan untuk meraih simpati bila bab nak bayar sahaja beribu alasan diberikan.
Begitulah juga buat usahawan dan selebriti media sosial, Iddin Syah yang mendakwa dirinya kerugian ratusan ribu ringgit selepas ditipu rakan niaga.
Kejadian itu menyebabkan dirinya trauma malah serik untuk berbuat baik kepada individu lain lapor Harian Metro.
“Pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya sekali gus menjadikan saya takut untuk menghulurkan bantuan sewenang-wenangnya terutamanya berkaitan bantuan kewangan.
“Fobia dan berhati-hati itu memang ada dan saya jadi takut nak rapat dengan orang, bahkan ia jadi pengajaran buat saya sehinggakan bimbang nak bagi orang pinjam duit.
“Sebelum ini saya suka berkawan dan berbaik dengan semua orang, tapi selepas berlaku insiden ditipu, saya jadi takut untuk terlalu terbuka dan peramah.
“Malah lebih baik saya kecilkan kenalan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tidak hanya itu, usahawan berusia 29 tahun itu memaklumkan dia akan tetap menghulurkan bantuan kepada kawan dan keluarga cuma bukan dalam bentuk wang.
“Saya teguhkan hati dan bangkit dari kejatuhan yang dialami dengan mulakan semula perniagaan. Tak semestinya saya kena mengalah dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, rezeki menyebelahi saya apabila produk kosmetik saya diterima dan bakal dipasarkan ke luar negara di Qatar, Indonesia, Brunei dan Nigeria hujung tahun ini.
“Inilah yang dikatakan selepas hujan, petir maka datangnya pelangi indah dalam hidup saya. Saya bersyukur kepada Allah dengan apa yang diperolehi,” tambahnya.