Malaysia Dateline

Trend remaja bunuh diri meningkat

Trend tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dedah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, prevalen idea bunuh diri dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun 2012 mengikut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017.

Sementara itu, beliau memberitahu 29.2 peratus daripada golongan dewasa berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

Statistik tersebut dikeluarkan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kajian ini menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental berlaku pada kadar yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur antara 16 ke 19 tahun.

“Kajian ini turut merangkumi statistik masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” dipetik dari teks ucapannya sempena program larian Stop the Stigma Run di Kuching, Sarawak hari ini.

Acara anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Umum Sarawak itu diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019 pada 10 Oktober.

 

 

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly pelbagai strategi telah dilaksanakan termasuk kempen promosi kesihatan mental, ujian saringan dan rawatan pada peringkat kesihatan primer serta program-program bantuan asas psikologi semasa krisis.

“Bagi golongan kanak-kanak dan remaja, Kementerian Kesihatan Malaysia telah berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan program-program promosi kesihatan minda seperti Program Minda Sihat Sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata, perkhidmatan rawatan kesihatan mental turut disediakan di 61 hospital kerajaan yang mempunyai khidmat kepakaran psikiatri, termasuk empat Institusi Mental.

Jelasnya, perkhidmatan rawatan kesihatan mental turut disokong dan disediakan di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara, termasuk 22 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).

“Langkah-langkah mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental di klinik-klinik kesihatan primer adalah penting bagi mengurangkan stigma masyarakat serta menggalakkan individu untuk mendapatkan rawatan awal kesihatan mental,” tambahnya lagi.