Trend remaja bunuh diri perlu diberi perhatian

Trend remaja bunuh diri perlu diberi perhatian

Trend remaja bunuh diri yang dibangkitkan oleh Menteri Kesihatan pada Ahad yang lalu perlu diberikan perhatian oleh pelbagai pihak.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Rozita Abtdul berkata kajian komprehensif perlu dijalankan dalam sistem pembangunan manusia dalam negara secara holistik.

Menurutnya, remaja yang bertindak sedemikian perlu disalurkan kepada semaian sifat daya tahan, kemanusiaan dan ketuhanan dalam diri mereka.

“Kita tidak nafikan pengaruh teknologi masa kini seperti media sosial, gejala buli siber dan pengaruh rakan sebaya adalah dorongan untuk remaja melakukan perbuatan tersebut.

“Kerajaan juga perlu menambah baik akta-akta pembangunan keluarga supaya punca kepada kejadian seperti itu dapat di kawal sebelum berlaku.

“Selain pihak kerajaan, NGO juga perlu memainkan peranan dan NGO-NGO tersebut harus diberikan ruang yang sebaiknya oleh pihak kerajaan untuk terlibat sama dalam menyelesaikan permasalahan ini,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau yang juga bendahari Persatuan Wanita Prihatin (PERWANIN) Johor Bahru, berkata pembabitan NGO untuk bersama dalam menangani masalah ini amat diperlukan.

Katanya lagi, permasalahan ini bukannya harus dipikul oleh pihak kerajaan semata malah semua pihak harus mengambil peranan masing-masing.

“Pendidik kepada pelajar seperti silibus pra sekolah dan sekolah perlu memperkasakan nilai kemanusiaan dan menambahkan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan daya tahan kanak-kanak dan remaja bagi mendepani cabaran masa depan serta sikap mereka untuk cenderung ke arah bunuh diri dapat dikawal.

“Selain itu peranan keluarga juga menjadi tonggak penting dalam memastikan perkara ini boleh dikawal dan ibu bapa juga harus diberikan pencerahan berkenaan dengan cara mengawal remaja yang bermasalah.

“Isu ini turut disentuh dalam ‘Envision 2030’ oleh UN iaitu ‘Sustainable Development Goal (SDG)’ yang ke 16 dengan menyatakan bahawa dunia perlu memberi keadilan dan keamanan kepada kanak-kanak dan remaja untuk terus hidup,” ujarnya lagi.