Malaysia Dateline

Trio pelumba Malaysia tekad kekalkan momentum kemenangan di Shanghai

Tiga pelumba Malaysia – Nabil Jeffri, Weiron Tan dan Jazeman Jaafar tekad mengekalkan momentum kemenangan dan meraih keputusan sensasi pada Kejohanan Endurance Dunia (WEC) FIA, yang memasuki pusingan kelima di Shanghai, China hujung minggu ini.

Ketiga-tiga pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat Permotoran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, kini berkongsi kedudukan kedua dengan rakan sepasukan mereka dalam pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota yang terdiri daripada Gabriel Aubry, Ho-Pin Tung dan Stephane Richelmi, dengan mengumpul 86 mata dalam Kelas Prototaip Le Mans 2 (LMP2).

Nicolas Lapierre, Andre Negrao dan Pierre Thiriet daripada pasukan Signatech Alpine Matmut, mendahului carta kedudukan dengan 87 mata.

Tiga pelumba Malaysia itu mula merasakan segalanya boleh berlaku apabila merangkul gelaran dalam percubaan pertama mereka pada kejohanan berprestij itu yang turut menampilkan beberapa pelumba dan pasukan terbaik dunia dalam perlumbaan lasak tersebut.

Mereka meraih kejuaraan sulung pada perlumbaan WEC di Fuji Speedway, Jepun bulan lepas dan menduduki tempat kedua di Litar Silverstone, United Kingdom pada Ogos.

Nabil berharap jentera mereka akan terus mantap pada perlumbaan di Shanghai bagi memastikan satu lagi prestasi cemerlang seperti dicatat pada beberapa pusingan perlumbaan sebelum ini.

“Secara peribadi, saya sasarkan mahu menamatkan perlumbaan di P1 dan membawa momentum dari Fuji, Jepun. Saya perlu terus fokus dan sentiasa berusaha keras. Shanghai adalah trek baharu bagi saya, maka saya perlu sedikit masa untuk membiasakan diri dengan litar tersebut,” kata Nabil dalam kenyataan dikeluarkan SIC hari ini.

Dalam pada itu, Weiron berkata pasukan itu mampu beraksi dengan baik terutama dengan motivasi tambahan daripada Jackie Chan DC Racing yang akan berlumba di tempat sendiri di Shanghai.

“Melihat kembali perlumbaan di Fuji, saya berasa sangat bermotivasi bagi meraih satu lagi keputusan baik dalam perlumbaan akan datang di Shanghai. Kita akan terus dengan momentum ini untuk perlumbaan pasukan itu di tempat sendiri. Saya tidak sabar untuk perlumbaan hebat di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Bagi mengulangi prestasi kemenangan mereka dan terus memburu gelaran keseluruhan LMP2, Jazeman berkata adalah penting untuk mereka kekal fokus dan memastikan penampilan sempurna pada perlumbaan di Shanghai.

“Tiada yang lain selain daripada kekal fokus dan terus konsisten. Persaingan semakin sengit dan kita tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Ia perlumbaan penting di ‘laman sendiri’ dan kita perlu mengutip banyak mata.

“Ia saingan sangat sengit dalam LMP2 musim ini dan kita sendiri melihat betapa sukarnya meraih setiap mata kejohanan setakat ini. Bagi pasukan, Weiron, Nabil dan saya masih banyak belajar tetapi perkara terbaik ialah kita mempamerkan prestasi yang cemerlang dan kini semakin konsisten, jadi semuanya dalam keadaan baik,” kata Jazeman.

Perlumbaan selama enam jam di Shanghai itu adalah pusingan keenam dalam siri WEC, dan akan berlangsung pada 18 Nov di Litar Antarabangsa Shanghai.

— BERNAMA