Malaysia Dateline

‘Troll’ sejuk di Parlimen: Hanipa sedia memaafkan pihak terlibat

 

Susulan tular poster melibatkan Mohamed Hanipa Maidin yang berada dalam kesejukan, beliau hari ini tampil mengeluarkan kenyataan yang penuh positif walaupun sedang menjadi bahan kecaman masyarakat.

“Jujurnya saya tak kisah dengan any negative comment. InsyaAllah. I can still tolerate. I will insyaAllah forgive anyone yang hina saya.

“I value freedom of speech seteruk mana pun komen itu. InsyaAllah, saya ok,” katanya secara eksklusif kepada Malaysia Dateline, sebentar tadi.

Mohamed Hanipa Maidin

Di sebalik penularan poster tersebut, Hanipa yang juga merupakan Pengarah Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun), tetap tenang berhadapan dengan kecaman pada ketika ini.

“Cuma saya nak tambah sikit dan saya nak quote antara lain bait daripada puisi indah penyair Mesir yang terkenal, Sheikh Mahmud Samy al -Barudi.

“Aku tidak peduli apa yang dikatakan meskipun ( di dalam benakku) dipenuhi jawapan jawapan balas,” ujar Hanipa yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

Semalam, Astro Awani melaporkan, Hanipa menjadikan kesejukan Dewan Rakyat sebagai penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam semasa persidangan berlangsung.

Hanipa berkata, sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhunya yang cukup rendah.

“Adalah mustahil bagi wakil rakyat untuk terus menahan kesejukan itu dalam tempoh masa yang lama dan suasana sama juga sering berlaku di mana-mana Parlimen di negara lain,” katanya.