Tropicana cadang beli 12 firma hartanah bernilai RM1.85 bilion

Tropicana cadang beli 12 firma hartanah bernilai RM1.85 bilion

Tropicana Corporation Bhd (TCB) menandatangani 12 perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Tan Sri Tan Chee Sing (TSDT) dan/atau individu yang mempunyai pertalian dengannya untuk cadangan mengambil alih 12 syarikat pemegangan bernilai RM1.85 bilion.

TCB dalam kenyataan hari ini berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibuat menerusi terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS).

“Daripada jumlah pembelian yang dipertimbang, RM343.7 juta akan dilaksanakan menerusi terbitan 286.5 juta RCPS baharu di TCB pada harga terbitan RM1.20.

“Satu lagi penyelesaian hutang bernilai RM1.51 bilion akan dibuat menerusi tunai RM247.1 juta, terbitan 823.7 juta RCPS pada harga terbitan RM1.20 dan jangkaan peminjaman bank TSDT  berjumlah RM271.8 juta,” katanya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka memudahkan pertumbuhan berterusan bagi perniagaan teras kumpulan itu sebagai pemaju hartanah dengan meningkatkan simpanan tanah sedia ada.

TCB berkata simpanan tanah daripada syarikat yang telah dikenal pasti terletak di Lembah Klang dan Johor, merangkumi 452 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM24.82 bilion.

Selain itu, kumpulan itu telah menandatangani memorandum persefahaman untuk  membincangkan jangka masa kerjasama yang dicadangkan dengan Cenang Resort Sdn Bhd, Sinaran Ramah Sdn Bhd, Pantai Kok Resort Development Sdn Bhd, selain Suci Padu Sdn Bhd dan Ibarat Indah Sdn Bhd.

TCB juga mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Dr Lim Wee Chai daripada timbalan pengerusi bukan eksekutif kepada pengerusi bukan eksekutif kumpulan manakala pengasas syarikat TSDT kembali dilantik sebagai naib pengerusi eksekutif.

Sementara itu TSDT berkata menerusi pelaksanaan langkah korporat  tersebut TCB berjaya meningkatkan simpanan tanah strategik kumpulan itu menjadikan ia berjumlah 908.09 hektar dan potensi GDV gabungan berjumlah RM71.42 bilion.

“Menerusi kerjasama yang dicadangkan, TCB mempunyai akses kepada 537.73 hektar dengan GDV RM6.76 bilion. Sehubungan itu, Januari 2019 merupakan waktu yang sesuai kepada saya untuk kembali dan menjalankan tugas sepenuh masa,” katanya.

— BERNAMA