Tropicana cadang beli 12 firma hartanah membabitkan RM1.85 bilion

Tropicana cadang beli 12 firma hartanah membabitkan RM1.85 bilion

Tropicana Corporation Bhd (TCB) menjalin 12 perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Tan Sri Tan Chee Sing (TSDT) dan/atau pihak yang berkaitan dengan beliau bagi cadangan pengambilalihan 12 syarikat pegangan hartanah melibatkan sejumlah RM1.85 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, TCB berkata cadangan pengambilalihan itu akan diselesaikan menerusi terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS), baharu .

“Daripada jumlah pertimbangan belian, RM343.7 juta akan diselesaikan menerusi terbitan 286.5 juta RCPS baharu dalam TCB pada harga terbitan RM1.20.

“Sejumlah RM1.51 bilion penyelesaian hutang akan dilakukan menerusi bayaran tunai RM247.1 juta, terbitan 823.7 juta RCPS pada harga terbitan RM1.20 dan pinjaman bank TSDT sebanyak RM271.8 juta,” katanya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangkakan dapat meneruskan pertumbuhan perniagaan teras syarikat sebagai pemaju hartanah, dengan meningkatkan bank tanah sedia adanya.

TCB berkata bank tanah daripada syarikat yang dikenal pasti terletak di Lembah Klang dan Johor seluas 452 hektar (ha) dengai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM24.82 bilion.

Selain itu, kumpulan berkenaan menandatangani Memorandum Persefahaman bagi merundingan  terma cadangan usaha sama dengan Cenang Resort Sdn Bhd, Sinaran Ramah Sdn Bhd, Pantai Kok Resort Development Sdn Bhd, selain Suci Padu Sdn Bhd dan Ibarat Indah Sdn Bhd.

TCB juga mengumumkan pertukaran jawatan Tan Sri Dr Lim Wee Chai daripada timbalan pengerusi bukan eksekutif kepada pengerusi bukan eksekutif kumpulan manakala pengasas syarikat, TSDT, kembali sebagai naib pengerusi eksekutif.

Sementara itu, TSDT berkata menerusi rombakan korporat itu, TCB menambah bank tanah strategik dalam kumpulan kepada 908.09ha dengan potensi gabungan GDV sebanyak RM71.42 bilion.

“Menerusi cadangan usaha sama itu, TCB mempunyai akses tambahan kepada 537.73ha dengan GDV RM6.76 bilion. Justeru, Januari 2019 merupakan masa yang tepat untuk kembali dan menjalankan tugas sepenuh masa,” katanya.

— BERNAMA