Malaysia Dateline

Truck It perkenal pengiklanan digital di trak

Truck It Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan pengiklanan digital di traknya sebagai kelebihan pengiklanan alternatif kepada syarikat besar dan perkhidmatan pengiklanan mampu milik kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Truck It” adalah konsep yang akan menggalakkan pelbagai pemilik trak untuk menyediakan trak, laluan yang digunakan dan ukuran trak dan memadankannya dengan pengiklan dan pelanggan berpotensi.

Ia mendapat dorongan untuk menerapkan konsep pembayaran per-kilometer dipandu oleh sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) bagi pengiklanan bergerak untuk meningkatkan kepercayaan antara pelanggan dan pemandu trak, dan syarikat itu akan memainkan peranannya sebagai pengurus platform untuk mengembangkan lagi potensi medium baharu dan kaedah publisiti yang belum dimanfaatkan ini.

“Insentif utama lain yang memberi manfaat kepada pemandu trak dan pelanggan termasuklah caj GPS yang disubsidikan, cucian mingguan bagi trak yang disenaraikan, insentif pemandu yang diperluaskan dan pendapatan tambahan kepada pemilik trak bagi perbatuan tambahan yang diliputi,” kata Truck It dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu akan mengebilkan pengiklan berdasarkan kepada perbatuan, dengan ketelusan dipertingkatkan menerusi penggunaan pengesan GPS, memberikan pilihan kepada pelanggan mengesan dan memeriksa pergerakan iklan mereka dengan satu aplikasi dan membawa slogan ‘We don’t move, You don’t pay’.

Truck It disokong oleh tiga syarikat, iaitu Milax , firma berpaksikan jenama; Pixio, syarikat sokongan cetakan pengiklanan; dan Illyria Geotechnologies, syarikat GPS inovatif utama.

– BERNAMA