Trump akan lebih pro-Israel, kata Amanah

Oleh HAZAYANI ZAKARIA

Parti Amanah Negara (Amanah) memberi amaran bahawa bakal presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mengambil pendirian yang lebih pro-Israel.

Walaupun mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) menentang penempatan haram Israel di Paslestin, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah bagaimanapun menjangkakan situasi lebih buruk akan berlaku.

“Walaupun Amerika Syarikat hanya berkecuali dalam pengundian, namun ia adalah satu langkah yang sangat penting kerana ia sentiasa mempunyai kuasa veto sebelum ini.

“Tahniah kepada pentadbiran Obama kerana akhirnya mempunyai keberanian untuk berdiri menentang kerajaan Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 18 anggota UNSC termasuk empat anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia dan United Kingdom hari ini mengundi memihak kepada resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin manakala Amerika Syarikat tidak mengundi dan Israel mengundi menentangnya.

Raja Bahrin melihat kecaman itu sebagai isyarat simbolik daripada Obama yang akan mengakhiri penggalnya awal tahun depan dan juga saguhati daripada AS.

“Trump sudah menyatakan pendirian pro-Israel. Mereka yang mengharapkan perubahan pada dasar AS akan kecewa, Kita boleh jangkakan senario yang lebih buruk selepas ini.

“Mereka yang menentang pembantaian rakyat Palestin perlu bekerja keras menghalang penempatan haram dibina di atas tanah Palestin.

“Sekarang bukan sahaja penempatan haram Israel merebak, rumah Palestin yang lama dan sedia ada dirobohkan pihak berkuasa Israel,” katanya.

Justeru tegasnya, Malaysia perlu meningkatkan usaha di UNSC bagi menangani kerajaan AS pimpinan Trump yang pro-Israel.

“Rakyat Palestin yang tidak berdaya itu memerlukan sokongan yang berterusan dan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

“Malaysia perlu melipatgandakan usaha di Majlis Keselamatan PBB bagi menangani kerajaan AS pimpinan Trump yang lebih pro-Israel,” katanya.

Bagaimanpun katanya, Malaysia perlu memulakan di negara sendiri, dengan menghormati kaum minoriti dan memberikan keadilan kepada mereka, contohnya Orang Asli.

“Nasib Orang Asli di Australia dan Amerika Syarikat sudah menjadi berita antarabangsa, maka kita harap keadaan Orang Asli kita juga tidak menjadi tajuk utama berita dunia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.