Malaysia Dateline

Trump anggap Iran nampaknya ‘bertenang’

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berundur dari ambang perang dengan Iran atas alasan Tehran nampaknya ‘bertenang’ selepas melancarkan serangan peluru berpandu terhadap tentera AS.

Iran melepaskan sekurang-kurangnya 12 roket ke pangkalan menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Ain al-Asad serta Irbil, di Iraq, semalam

Trump, dalam ucapannya dari Rumah Putih, menegaskan tiada warga AS yang cedera dalam serangan itu dan berikrar akan menghukum Iran dengan mengenakan sekatan ekonomi yang baru.

Beliau yang sebelum ini dipersoal berkomunikasi dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membincangkan tentang isu rasuah yang berlaku di Amerika juga mengalu-alukan tindakan Tehran yang dikatakan kini ‘bertenang’ dalam pertembungan membalas dendam itu.

AFP melaporkan kenyataan tersebut menampakkan usaha untuk meredakan ketegangan berikutan pembunuhan komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani, atas arahan Trump, 3 Januari lalu.

Bagaimanapun Trump mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan orang nombor dua paling berpengaruh di Iran itu ‘pengganas nombor satu dunia’ dan sepatutnya sudah lama dibunuh.

Walaupun mengakhiri ucapannya dengan gesaan mencapai keamanan, Presiden ke-45 AS itu turut menegaskan tidak akan membenarkan Iran menghasilkan senjata nuklear.

Tindak balas Iran dengan melancarkan serangan peluru berpandu itu sememangnya tidak dijangka dan dianggap sebagai amaran simbolik yang dilancarkan sejurus selepas pengebumian Soleimani.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, berkata serangan tersebut bagi mempertahankan diri dan buat masa sekarang, Iran berpuas hati.

Tindakan Trump melancarkan serangan tanpa kelulusan Kongres itu turut mendapat perhatian Rumah Perwakilan diterajui Demokrat, yang dijadualkan mengundi untuk mengehadkan kuasa Presiden untuk melancarkan perang tanpa kelulusan Kongres.

Serangan dron AS itu turut menimbulkan kemarahan Parlimen Iran yang mahu tentera AS di Asia Barat disingkirkan dan secara umumnya, pembunuhan Soleimani menyatukan Iran tetapi melemahkan usaha menentang Daesh.