Malaysia Dateline

Trump batal sekatan baharu ke atas Korea Utara

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengarahkan sekatan terbaru ke atas Korea Utara ditarik balik, memberikan isyarat AS bersedia untuk meneruskan rundingan mengenai isu senjata nuklear dengan rejim itu, lapor agensi berita Yonhap.

Arahan itu dipercayai merujuk kepada sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS ke atas dua syarikat perkapalan China yang dituduh membantu Korea Utara mengelak daripada sekatan AS.

Laporan Washington Post pula yang memetik sumber sahih mengatakan, Trump sebenarnya merujuk kepada sekatan yang dijadual dilaksanakan pada masa depan.

“Perbendaharaan AS hari ini mengumumkan sekatan tambahan kepada Korea Utara. Saya telah mengarahkan sekatan tambahan itu ditarik balik!,” tulisnya menerusi Twitter.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah rundingan isu nuklear Korea Utara menemui jalan buntu berikutan sidang kemuncak kedua antara Trump dan pemimpin utara, Kim Jong-un di Hanoi bulan lalu gagal mencapai kata sepakat.

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders berkata ¬†“Presiden Trump suka kepada Kim dan menganggap sekatan itu¬†tidak diperlukan.”

Minggu lalu, Naib Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui mengancam untuk meninggalkan rundingan dan mengatakan rejim itu tidak berniat untuk berlagak seperti “gangster”.

Beliau berkata Kim akan membuat keputusan dalam waktu terdekat sama ada untuk meneruskan perbincangan atau sebaliknya.- BERNAMA