Trump berang Adam Schiff umum siasatan meluas terhadapnya

Trump berang Adam Schiff umum siasatan meluas terhadapnya

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berang apabila Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan Demokrat Adam Schiff mengumumkan bahawa panel itu akan meneliti pakatan presiden tersebut dengan Rusia, lapor agensi berita China Xinhua memetik posting Trump dalam akaun Twitter.

“Schiff akan meneliti setiap aspek kehidupan saya, baik dari segi kewangan mahupun peribadi, meskipun tidak ada alasan untuk berbuat demikian,” kata Trump pada pagi Khamis.

“Perkara sebegini tidak pernah berlaku! Gangguan Tanpa Had Terhadap Presiden.”

Presiden itu menuduh anggota Parti Demokrat dan panel kongres yang mereka terajui “sudah gila,” dan mengadu bahawa “tidak akan ada waktu yang tersisa untuk mentadbir kerajaan.”

Schiff pada Rabu berkata siasatan jawatankuasa itu akan melibatkan penelitian berterusan ke atas dakwaan berkaitan peranan Rusia semasa pilihan raya presiden AS 2016 serta hubungan antara Moscow dan kempen Trump.

Siasatan itu, kata anggota Demokrat yang mewakili California, akan turut meneliti “sama ada terdapat pelakon asing yang berusaha menjejaskan atau memiliki faedah kewangan atau sebaliknya, terhadap Donald Trump, keluarga, perniagaan atau rakan beliau.”

Ini selari dengan siasatan pasukan diketuai peguam khas Robert Mueller, yang diketahui memfokus kepada orang hubungan dari Rusia dalam pasukan Trump dan sama ada presiden itu telah menghalang keadilan.

Pasukan Mueller setakat ini telah mendakwa atau berjaya memperoleh pengakuan bersalah daripada 34 orang, termasuk enam bekas sekutu Trump dan lebih 24 rakyat Rusia serta tiga entiti Rusia.

Trump telah berulang kali menafikan terdapat sebarang pakatan antara kempen beliau dengan Moscow dan menyelar siasatan Mueller serta menyifatkannya sebagai satu “penipuan” atau “pemburuan ahli sihir.- BERNAMA