Malaysia Dateline

Trump dan TikTok

Jika di Malaysia aplikasi hiburan seperti TikTok tidak sahaja sebagai wadah hiburan tetapi banyak memberi faedah kepada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling tetapi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, aplikasi ini adalah ancaman kepada negaranya.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya aplikasi seperti TikTok kepada pengguna di AS sehingga membawa kepada ancaman pengharamkan oleh Trump, Jabatan Negara dan AS? India lebih awal daripada AS, pada 29 Jun lepas telah mengharamkan penggunaan aplikasi video TikTok dan puluhan lagi aplikasi mudah alih lain yang dibangunkan syarikat China atas faktor keselamatan dan peribadi.

Tidak dipastikan adakah pengharaman ini berkaitan pertembungan dua minggu lalu di sepanjang sempadan yang dipertikaikan antara kedua negara yang membawa sejumlah 20 tentera India terbunuh. Ia adalah ketegangan buruk antara kedua pihak selepas beberapa dekad lalu.

Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Trump dan para pegawai White House ialah TikTok menyimpan banyak data dan maklumat daripada penggunanya termasuk dari Internet dan kegiatan rangkaian yang lain seperti lokasi data, perlombongan data (data mining) dan latar pencarian.

Oleh itu dengan mendedahkan maklumat-maklumat dari AS ini membolehkan Beijing membuat capaian dan perolehan kepada segala data peribadi dan maklumat tersebut.

Dengan menggunakan aplikasi TikTok kerajaan China dikatakan dapat mengesan lokasi agen perisikan AS seperti kakitangan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Agensi Periskan Pusat (CIA) dan kontraktornya, serta segala dosir maklumat kegiatan perisikan korporat atau emel ancaman dan ugutan yang lain. Walaupun tiada fakta untuk dibuktikan Trump tetap dengan ancaman mengharamkan TikTok atau syarikat dari AS seperti Microsoft akan mengambil alih pasaran saham TikTok di Amerika.

Namun siasatan CIA menyimpulkan bahawa “tiada bukti menunjukan agensi perisikan China pernah membuat capaian data daripada TikTok. Menurut laporan CIA (NYT, 7 Ogos) apa yang mungkin dapat dilakukan kerajaan China ialah menyalur atau memindahkan data daripada TikTok ke lokasi lain. Namun tiada bukti menunjukkannya.

Saya sering membaca akhbar Wall Street Journal (WSJ) secara dalam talian dan mengejutkan apabila WSJ yang sering kritikal terhadap pentadbiran Trump telah menyatakan sokongan kepada tindakan ancaman pengharaman aplikasi TikTok ini. Wahal CIA telah menyimpulkan tiada capaian data yang dibuat oleh TikTok.

Dalam Editorialnya bertarikh 5 Ogos ,WSJ menyebut: “Encik Trump telah ancam untuk mengharamkan Tik Tok tetapi tindakan ini akan melemahkan persaingan dan tidak berbuat apa-apa untuk membataskan campur tangan China di luar negara.”

Para editor WSJ seolah-olah mahukan Trump mengambil tindakan lebih tegas terhadap TikTok. Kempen Trump supaya media sosial itu diharamkan di AS bermula di Facebook pada 17 Ogos lepas dengan meminta warga AS menandatangani petisyen mengharamkan TikTok.

Populariti TikTok telah meningkat sejak setahun yang lalu. Presiden AS mahu menyekat aplikasi media sosial TikTok yang kini berkembang pesat di negara itu. TikTok berkongsi 800 juta platform video di serata dunia dan 80 juta pengguna aktif datang dari AS, ia dimiliki oleh ByteDance, syarikat induk beribu pejabat di Beijing.  Apakah isu yang membuatkan WJS mengkritik Tik Tok? Ia dikatakan ada kaitan dengan protes demokrasi di Hong Kong. Pada tahun lepas TikTok didakwa telah menapis video protes di Hong Kong. ByteDance telah menafikannya dan berkata protes video tidak popular dalam kalangan penggunnya.

Editorial WSJ terus mengkritik ByteDance dengan mengatakan ia memutar belitkan sejarah tempatan dan negara lain seperti sejarah rusuhan 1998 di Indonesia, genosid Kemboja, insiden Tiananmen dan topik-topik kontroversial seperti pemisahan, konflik mazhab agama, konflik antara etnik…
Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan hasil keuntungan TikTok digunakan untuk membunuh umat Islam Uighur di wilayah konflik Xinjiang. Namun tiada bukti untuk mengesahkannya.

Apa yang dimaksudkan Trump dan WSJ di sini TikTok telah menjadi alat propaganda kerajaan China untuk memanipulasikan dan mengedit protes demokrasi di Hong Kong. Trump tahu pengaruh TikTok di serata dunia dan memberikan amaran kerajaan China supaya tidak perlu menggunakan TikTok.

Bagi Trump apa yang berlaku di Hong Kong adalah hak penduduknya untuk protes dan berdemontrasi dan media sosial milik syarikat China itu tidak perlu campur tangan.

Apabila saya mengamati, TikTok dalam kaitannya isu protes Hong Kong ternyata aplikas ini tidak menapis sebarang video dan kritik ke atas kerajaan China yang menyokong protes Hong Kong tersebut. Malah penduduk Hong Kong begitu berani menyuarakan pandangan mereka di dalam TikTok.

Adakah Trump takut dengan bayang-bayang sendiri? Jika Twitter dan Facebook boleh menjadi alat propaganda Jabatan Negara AS, mengapa TikTok tidak boleh melakukan bagi pihak China, itu diandaikan jika TikTok dan Beijing bertindak demikian.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa agensi-agensi perisikan AS dan Jabatan Negara telah menggunakan media sosial sebagai alat pengintipan mereka. Semasa peristiwa Arab Spring 2011, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton agak terbuka mengatakan bahawa wujud kerjasama antara Google/Alphabet (Alpabet adalah syarikat induk Google) dan syarikat-syarikat gergasi teknologi yang lain (seperti Twitter juga).

BahKan Jared Andrew dari Jigsaw (CEO syarikat incubator ini adalah unit daripada Google yang meramal senario ancaman-ancaman dan andaian situasi masa depan) secara langsung telah menasihati Hillary semasa itu dan beliau sekarang adalah felo adjung di Majlis Hubungan Luar atau Council of Foreign Relaions (CFR).

Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Washington menggunakan Facebook, Twitter, Youtube dan media sosial lain untuk unjuran agenda geopolitiknya dan sedang merancang untuk melemahkan Rusia dan China dan negara-negara anti-AS. Timbul pula soalan di sebalik segala keseronokan dengan media sosial, di sebaliknya adakah ia diciptakan untuk menjadi agen perisikan AS? Adakah ini matlamatnya?

Pada 1999 semasa Internet baru dicipta, ia menjadi ruang kepada pertubuhan pelampau Falun Gong mencetuskan protes di serata China. Sebagai gerak balas China mula mengetatkan kawalan ke atas world wide web (www). Pada tahun yang sama, Jabatan Negara telah menyokong kegiatan pertubuhan politik bernama Otpor dan pemimpinnya Srdja Popovic terlibat dalam siri kekacauan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Slobodan Milosevic Presiden Kerajaan Sosialis di Serbia. Mereka menggunakan wahana Internet dalam tindakan tersebut.

Nampaknya konflik ekonomi antara AS dan China yang bermula sebagai perang dagang dan serangan balas sekatan dagang dan pengenaan tarif telah berkembang kepada perang teknologi iaitu serangan ke atas Huawei yang dituduh mengintip dan kini dipertingkatkan dengan perang modal media sosial apabila AS cuba menyah-senaraikan syarikat China seperti TikTok dan WeChat dairpada pasaran saham Amerika.

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.