Malaysia Dateline

Trump harus dilabel sebagai ekstremis, tegas Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad membidas dakwaan pihak Amerika Syarikat (AS) yang menamakannya sebagai antara 20 ekstremis paling berbahaya di muka bumi.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu menyifatkan Donald Trump sendiri sepatutnya dikategorikan sebagai pelampau ekoran serangan ganas penyokong Presiden AS itu terhadap Capitol Hill.

Terdahulu, laman web Counter Extremism Project memetik; “Tokoh kontroversi, Mahathir sering mengkritik Barat, LGBT, dan orang Yahudi”.

“Berdasarkan serangan Capitol oleh penyokong Presiden Donald Trump yang keluar, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh hasutannya, Trump harus dilabel sebagai ekstremis.

“Tetapi laman web itu (Counter Extremism Project) tidak menggambarkan dia (Trump) sebagai pengganas walaupun Mark Zuckerberg telah melarang Trump dari Facebook kerana, “penggunaan platform kami untuk menghasut pemberontakan ganas terhadap pemerintah yang dipilih secara demokratik,” kata Mahathir dalam satu kenyataan semalam.

Pada 6 Januari lalu, ratusan penyokong Trump mencetuskan rusuhan ganas dan menceroboh bangunan Capitol yang julung kali terjadi dan ditayangkan secara langsung di televisyen.

Ramai pihak mendakwa aksi ganas itu berpunca daripada hasutan Trump ekoran kejayaan Joe Biden menewaskannya dalam keputusan akhir pilihanraya presiden.

Pentadbiran baharu Biden dijadualkan akan bermula pada 20 Januari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir turut menyelar laman web Counter Extremism Project yang hanya mengambil sebahagian pendapatnya sehingga menunjukkan bahawa beliau menyokong keganasan.

“Antara pandangan saya yang dikutip adalah yang menentang pandangan Macron (Presiden Perancis) mengenai Islam baru-baru ini. Macron menegaskan bahawa Islam mempromosikan keganasan. Ini betul-betul salah.

“Islam melarang membunuh. Pembunuhan seorang lelaki, sama ada Muslim atau tidak, disamakan dengan pembunuhan seluruh umat manusia.

“Pembunuhan sesama Muslim akan menjadikan pembunuh itu selamanya berada di neraka yang paling teruk. Sekiranya orang Islam membunuhnya bukan kerana ajaran Islam.

“Laman web ini memetik separuh daripada apa yang saya tulis dan memusingkannya sehingga menunjukkan bahawa saya menyokong keganasan. Saya secara khusus menekankan bahawa umat Islam tidak membalas dendam,” jelasnya.

Untuk rekod, Macron pada Oktober tahun lalu menegaskan rancangan mempertahankan nilai sekular bagi menentang kumpulan radikal Islam, menyifatkan agama itu berada dalam krisis di seluruh dunia.

Katanya, kerajaan Perancis akan membentangkan rang undang-undang pada November bagi memperkukuh satu undang-undang yang digubal pada 1905, yang mengasingkan gereja dan pentadbiran di Perancis.

Langkah itu, kata Macron, bermatlamat mengatasi masalah radikalisasi Islam yang dianggapnya semakin berkembang di Perancis dan memperbaiki kemampuan rakyat negara itu untuk hidup bersama.

Dia turut menekankan sekularisme adalah asas negara Perancis yang bersatu namun mengingatkan tiada sebab untuk mewujudkan stigma terhadap semua penganut Islam.