Malaysia Dateline

Trump kata beliau terima ‘surat yang menakjubkan’ daripada pemimpin Korea Utara

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata beliau menerima sepucuk “surat yang menakjubkan” daripada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan menjangkakan bahawa mereka akan mengadakan satu lagi pertemuan tidak lama lagi, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

“Saya baru sahaja menerima sepucuk surat yang menakjubkan daripada Kim Jong Un,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih, menurut agensi berita itu yang memetik AFP.

“Kami mungkin mengadakan satu lagi pertemuan.”

Sementara itu, dalam amanat Tahun Baharu pada Selasa, Kim berkata beliau sudah bersedia untuk mengadakan pertemuan kedua dengan Trump pada bila-bila masa dan komited ke arah “pembasmian senjata nuklear sepenuhnya.”

Beliau turut memberi amaran bahawa Korea Utara mungkin terpaksa “mencari jalan baharu” jika AS meneruskan sekatan dan tekanan.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pertama mereka di Singapura pada Jun tahun lepas dan bersetuju “untuk bekerjasama ke arah” pembasmian senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea sebagai pertukaran bagi jaminan keselamatan dari AS.

— BERNAMA