Trump, Kim dijangka bincang tamatkan perang Korea 1950 -1953 secara rasmi – Pompeo

Trump, Kim dijangka bincang tamatkan perang Korea 1950 -1953 secara rasmi – Pompeo
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Khamis berkata beliau menjangkakan Presiden Donald Trump membincangkan kemungkinan untuk menamatkan secara rasmi Perang Korea 1950-1953 di sidang kemuncak akan datang antara beliau dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Trump dan Kim dijadualkan bertemu di Hanoi, Vietnam pada 27 dan 28 Feb bagi membincangkan usaha membasmi program senjata nuklear Korea Utara sebagai pertukaran bagi jaminan keselamatan AS.

Satu perisytiharan bahawa peperangan telah tamat adalah konsesi utama yang dituntut Korea Utara sebagai balasan bagi komitmen negara itu ke arah pembasmian senjata nuklearnya yang dibuat pada sidang kemuncak pertama Trump-Kim di Singapura pada Jun.

“Ia adalah sesuatu yang telah banyak kami bincangkan,” kata diplomat terkemuka AS itu dalam satu temu bual dengan Fox News yang berlangsung di Warsaw, Poland.

“Malah pasukan saya akan dihantar semula ke negara Asia itu dalam sehari dua ini untuk meneruskan perbincangan mengenai semua perkara yang telah disentuh di Singapura. Ingat,¬†kami bukan hanya membincangkan pembasmian senjata nuklear tetapi juga mengenai pengwujudan mekanisme keselamatan dan keamanan di Semenanjung Korea.

“Saya harap kedua-dua pemimpin berpeluang membincangkan perkara itu. Saya menjangkakan mereka akan berbuat demikian,” kata Pompeo.

Deklarasi keamanan yang dibincangkan mungkin merupakan satu kenyataan politik yang berbeza dengan perjanjian damai.

Satu perjanjian akan mengikat secara sah dan membabitkan semua penandatangan kepada gencatan senjata yang mengakhiri konflik selama tiga tahun.

Gencatan senjata itu telah ditandatangani Pusat Pemerintah PBB yang diketuai AS, Korea Utara dan China.

Pompeo berkata kedua-dua pemimpin juga berbincang tentang “masa depan yang lebih cerah” untuk rakyat Korea Utara “jika kami berjaya memperoleh keputusan yang dijanjikan Pengerusi Kim kepada Presiden Trump.”

“Ingat beliau telah memberikan komitmen bahawa mereka akan membasmi senjata nuklear,” katanya.

“Jadi kami berharap untuk mencapai kemajuan yang nyata bagi setiap perkara yang telah dipersetujui kedua-dua pemimpin pada Jun tahun lepas.”

Pompeo bagaimanapun enggan menjawab soalan jika terdapat tarikh akhir dalam perkara itu yang bakal menyaksikan AS kembali mengenakan “tekanan maksimum” dalam kempen untuk mengenakan sekatan ke atas Korea Utara.

— BERNAMA