Malaysia Dateline

Trump, Kim mungkin adakan lima pertemuan di sidang kemuncak kedua

Sidang kemuncak kedua antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bakal menyaksikan sekurang-kurangnya lima pertemuan diadakan membabitkan kedua-dua pemimpin, lapor agensi berita Yonhap memetik Rumah Putih.

Menurut kenyataan Rumah Putih, acara dua hari itu bermula dengan pertemuan singkat serta majlis makan malam yang dijadual pada Rabu.

Kedua-dua pemimpin akan meluangkan banyak masa untuk bertemu berbanding ketika sidang kemuncak pertama di Singapura Jun lalu, yang mana pertemuan hanya mengambil masa kira-kira lima jam.

Setakat ini, jadual acara pada hari kedua belum dimaklumkan.

Seorang pegawai kerajaan AS baru-baru ini mengatakan format sidang kemuncak di Hanoi mungkin tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura.

Memandangkan jadual pada Khamis belum dimaklumkan, kedua-dua pemimpin mungkin akan bertemu sekurang-kurangnya lima kali, kata pegawai terbabit.

Masyarakat antarabangsa dan pihak media pastinya menantikan sama ada kedua-dua pemimpin akan mengadakan sidang media bersama.- BERNAMA