Malaysia Dateline

Trump mengadu wartawan persalahkannya berhubung insiden di New Zealand

Presiden Donald Trump mengadu bahawa dirinya dipersalahkan pemberita berhubung insiden 50 orang maut dalam serangan ke atas dua masjid di New Zealand.

“Media Berita Palsu bekerja lebih masa untuk menyalahkan saya berhubung serangan dahsyat di New Zealand,” tulis Trump kepada lebih 59 pengikut laman sosial ciapan Twitter.

“Semestinya mereka bersusah payah bekerja untuk membuktikan perkara itu,” tulis Trump.

“Amat tidak masuk akal,” kata Trump yang kelihatan mahu merujuk kepada kritikan terhadap reaksinya mengenai serangan yang didakwa dilakukan pengganas kulit putih berusia 28 tahun dalam apa yang dianggapnya mahu mengekalkan ketuanan kaum itu.

Dalam satu karangan panjang, pembunuh itu berulang kali merujuk Trump sebagai ‘simbol baru identiti kaum kulit putih’.

Trump beberapa kali dalam Twitternya mengutuk serangan “dahsyat” dan menawarkan bantuan AS kepada pihak berkuasa New Zealand.

Beliau bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila meremehkan implikasi ideologi penyerang itu dengan menyatakan keganasan nasionalisme kaum kulit putih, bukan masalah yang semakin besar.

“Ia hanya sekumpulan kecil,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan bertali arus daripada Demokrat yang mendakwa, presiden itu menghantar isyarat yang salah sewaktu seharusnya dia memberi kenyataan jelas menentang apa yang dianggap ramai pakar bebas berhubung peningkatan keganasan oleh nasionalis kulit putih yang mensasarkan orang Islam, Yahudi, pendatang dan minoriti lain.

— BERNAMA-