Malaysia Dateline

Trump, Putin berbual mengenai pencegahan keganasan, hubungan dua hala melalui telefon

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, bercakap mengenai isu pencegahan keganasan dan hubungan dua hala melalui telefon, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Rumah Putih pada Isnin.

“Presiden Vladimir Putin dari Rusia menelefon Presiden Donald J. Trump untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau untuk maklumat yang disalurkan oleh Amerika Syarikat yang membantu menggagalkan serangan pengganas berpotensi semasa musim cuti di Rusia,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak komited untuk meneruskan langkah pencegahan keganasan dan turut membincangkan isu dua hala serta “usaha masa depan bagi menyokong kawalan senjata yang berkesan,” katanya.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia pada Isnin berkata ia telah menahan dua rakyat negara itu yang merancang serangan pengganas semasa cuti Tahun Baharu di bandar kedua terbesar, St. Petersburg, tindakan yang diambil selepas menerima maklumat dari AS.

Perbualan telefon itu berlaku di tengah-tengah konfrontasi berlanjutan antara Washington dan Moscow dalam bidang kawalan senjata api, Timur Tengah, bekalan gas ke Eropah serta Amerika Latin.

Sementara itu, Putin dalam ucapan sempena Krismas dan Tahun Baharu kepada Trump, yang dimuat naik di laman sesawang Kremlin pada Isnin, berkata Moscow menyokong hubungan normal dengan Washington.– BERNAMA