Malaysia Dateline

Trump sedia tunggu untuk dapat dana bina tembok AS-Mexico

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedia tunggu untuk mendapatkan kelulusan daripada Kongres bagi dana 5 bilion USD yang akan digunakan untuk membina tembok di persempadanan AS dan Mexico, lapor Reuters.

Trump sebelum ini telah menuntut kelulusan daripada Kongres tetapi telah ditolak, menyebabkan Trump mengambil keputusan untuk menutup (shut down) kerajaan persekutuan AS.

Trump baru-baru ini ketika lawatan mengejutnya ke Iraq menyalahkan penutupan kerajaan AS kepada Nancy Pelosi, seorang ahli Demokrat di Kongres.

Sebelum ini Trump pernah mengatakan bahawa beliau bersedia untuk memanjangkan tempoh penutupan kerajaan AS ini dan apabila disoal berapakah tempoh masa yang sesuai, beliau menjawab, “Selama mungkin (jika boleh),”.

Tambah beliau, “Nancy yang akan menentukannya (berapa lama tempoh penutupan kerajaan AS),”.

Trump juga beranggapan bahawa tuntutan beliau untuk mendapatkan dana bagi pembinaan tembok di sempadan AS dan Mexico telah ditolak adalah kerana adanya keperluan Nancy untuk mendapatkan undi demi menjadi speaker Kongres.

“Masyarakat umum turut menuntut pembinaan tembok itu,” kata Trump ketika lawatannya ke Pangkalan Udara AS Al Asad, Iraq.

Ketika perbincangan pada 11 Disember lalu di antara Trump, Nancy dan Senator Kanan Demokratik Chuck Schumer yang turut ditayangkan di televisyen diseluruh negara, Trump berkata bahawa beliau “berbangga untuk menutup kerajaan persekutuan AS demi keselamatan sempadan,”. Walaubagaimanapun, mutakhir ini, beliau menuding jari kepada Demokrat.

Ketika kempen Presiden AS pada tahun 2016, Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau berjanji akan membiarkan Mexico menanggung kos bagi pembinaan tembok yang dicadangkan. Selepas Mexico enggan menanggung kos tersebut, Trump mahu menggunakan duit cukai rakyat AS untuk mendanai pembinaan tembok tersebut demi mengawal imigrasi haram.

Ahli-ahli Demokrat dan sesetengah ahli-ahli Republikan melihat pembinan tembok ini sebagai satu projek yang mahal, tidak diperlukan dan tidak efektif. Walaubagaimanapun terdapat beberapa ahli Republikan menyokong idea Trump untuk mendapatkan dana 5 bilion USD.

Selepas beberapa kali perbincangan menjumpai jalan buntu di antara Trump dan pemimpin Kongres, beberapa bahagian Kerajaan Persekutuan AS telah ditutup dan memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 800,000 pekerja di Department of Homeland Security, Transport dan beberapa agensi lain.

Kongres akan memulakan persidangan semula selepas tempoh bercuti dan akan menyambung semula perdebatan tentang perkara ini