Malaysia Dateline

Trump teliti tindakan lain boleh dikenakan ke atas Venezuela

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang meneliti beberapa tindakan lain yang mungkian akan diambil berhubung isu Venezuela, tetapi bukan langkah ketenteraan, lapor agensi berita Anadolu.

“Saya rasa ada beberapa pilihan dan sedang menelitinya,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Terdahulu Presiden AS itu bertemu dengan Presiden Colombia, Ivan Duque Marquez.

Ditanya sama ada AS akan mempertimbangkan langkah ketenteraan ujar Trump: “Saya tidak pernah berbincang tentangnya.”

Komen Trump itu bercanggah dengan kenyataan awalnya kepada CBS yang mengatakan langkah ketenteraan adalah pilihan lain di negara Amerika Latin.

Lawatan Duque ke Washington ketika hubungan Venezuela berdepan tekanan diplomatik dan ekonomi berterusan dari AS, memaksa Presidennya Nicolas Maduro menyerahkan kuasa kepada pemimpin Dewan Negara, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden pada 23 Jan lalu.

AS, Kanada dan kebanyakan negara di Amerika Latin dan lebih 20 negara Eropah menyatakan sokongan kepada Guaido. Maduro bagaimanapun berkeras enggan meletak jawatan dan mendakwa Washington merancang melancarkan rampasan kuasa.

Sementara itu China, Iran, Rusia dan Turki berada di belakang Maduro.

Sebelum ini, pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Eliot Engel, menolak sebarang sokongan campur tangan ketenteraan di Venezuela.

“Saya bimbang pembunuhan beramai-ramai jika ada campur tangan tentera AS. Saya tegaskan kepada semua campur tangan tentera bukan pilihan yang bijak,” kata kongres itu.

— BERNAMA