Trump ucap tahniah Mahathir dilantik PM

Trump ucap tahniah Mahathir dilantik PM

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Trump berkata, hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terjalin sejak sekian lama melalui perkongsian persamaan demokratik dan perhubungan komersial serta berharap jalinan itu akan terus diperkukuh, di bawah pentadbiran Tun Mahathir.

“AS tidak sabar meneruskan kerjasama rapat dengan Malaysia bagi memperkukuhkan perhubungan dengan Malaysia yang komprehensif dan bersama mencapai penyelesaian kepada cabaran antarabangsa juga serantau,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Trump juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas penyertaan mereka dalam kempen pilihan raya yang sangat sengit dan aman.

Walaupun terdapat beberapa percanggahan berkenaan hak asasi manusia dan dasar asing AS, kedua negara itu mempunyai hubungan baik dan sentiasa bekerjasama dalam pelbagai isu.

Hubungan itu semakin baik ketika AS di bawah pimpinan Barack Obama.

Hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia terjalin, pada 31 Ogos 1957 semasa AS mengangkat status konsulat jeneralnya di Kuala Lumpur kepada kedutaan.

CATEGORIES