Malaysia Dateline

Trump utus surat kepada Pelosi, bantah usaha pemecatan

Presiden Donald Trump pada Selasa mengutus surat kepada Speaker Dewan Nancy Pelosi, membantah usaha pemecatan oleh Demokrat dan menyifatkan ia sebagai “percubaan rampasan kuasa yang tidak sah” dan “penyalahgunaan kuasa”, lapor agensi berita Xinhua.

“Sudah tiba masanya anda dan Parti Demokrat yang menguasai Kongres untuk segera menamatkan mimpi fantasi pemecatan dan kembali semula berkhidmat untuk rakyat Amerika,” tulis Trump sambil menambah yang sebenarnya beliau tidak “berharap” Demokrat akan melakukannya.

Dalam surat itu, Trump mempertahan tindakannya terhadap Ukraine sebaliknya, menuduh Demokrat cuba “mengganggu pilihan raya Amerika.”

“Anda merupakan orang yang campur tangan dalam pilihan raya Amerika. Anda adalah orang yang menggugat demokrasi. Andalah yang menghalang keadilan. Anda adalah orang-orang yang membawa kepedihan dan penderitaan kepada negara kita, semata-mata demi keuntungan peribadi, politik dan parti yang mementingkan diri sendiri.”

Dewan diketuai Demokrat akan mengundi pada Rabu dua artikel mengenai pemecatan Trump kerana menyalahgunakan kuasa dan menghalang Kongres. Andai satu daripada dua artikel itu diluluskan, Trump akan menjadi presiden ketiga dalam sejarah Amerika Syarikat yang dicabar secara rasmi dan menghadapi perbicaraan di Senat.

Selepas itu, artikel berkenaan akan dibawa ke Senat yang dikuasai Republik di mana Trump dijangka akan bebas.

Demokrat menuduh Trump menyalahgunakan jawatannya dengan menekan Ukraine untuk menjalankan siasatan bertujuan memberi manfaat kepada kempen pilihan raya beliau. Rumah Putih enggan bekerjasama dalam siasatan itu, menuduh apa yang dilakukan Demokrat untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2016 sebagai tidak adil.

Hanya satu sabitan boleh dibuat di Senat dan memerlukan sekurang-kurangnya sokongan dua pertiga anggota atau 67 senator. Pada masa ini, Senat mempunyai 53 Republikan, 45 Demokrat dan dua anggota bebas.– BERNAMA