Tsunami Melayu dan anak muda akan bantu PH tawan Melaka

Tsunami Melayu dan anak muda akan bantu PH tawan Melaka

Perubahan sikap masyarakat Melayu dan sentimen tinggi kalangan anak muda untuk melakukan perubahan politik mampu membantu Pakatan Harapan (PH) melakukan kejutan di negeri Melaka, kata Pengerusi PH negeri Adly Zahari.

Menurut beliau, program bertemu penduduk (walkabout) yang dilakukan PH menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap PH begitu memberangsangkan khususnya di kalangan anak muda.

“Faktor penyumbang perubahan sikap ini adalah isu peningkatan kos sara hidup. Mereka menyandarkan harapan kepada PH untuk melakukan perubahan.

“Mereka juga yakin Tun Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri PH mampu membawa semula negara ke landasan yang betul sekaligus menyelesaikan masalah yang membelenggu negara,” kata Adly.

Beliau menambah, masyarakat Melayu di kampung-kampung juga mengetahui tentang masalah-masalah yang dihadapi negara ekoran kelemahan pentadbiran Najib.

“Golongan tua mengetahui isu-isu semasa melalui anak-anak mereka. Bila kita bertemu golongan tua di kampung-kampung, mereka peka dengan isu-isu semasa hasil penerangan anak-anak mereka.

“Penerangan Tun Mahathir berhubung masalah negara (sebagai contoh) dipaparkan anak-anak muda kepada ibu bapa mereka melalui telefon pintar,” kata Adly (foto).

Beliau juga melahirkan kegembiraan kerana majoriti penduduk yang ditemui tahu mengenai PH dan maklum tentang simbol PKR yang bakal digunakan calon-calon PH dalam pilihan raya umum (PRU) kelak.

“Mereka panggil lambang bulan sabit,” kata Adly merujuk logo dua anak bulan PKR dengan latar belakang biru muda dan merah.

Pengetahuan masyarakat kampung tentang PH juga, tambah beliau dibantu kempen negatif BN di televisyen dan media cetak.

Mengenai kesan pertandingan tiga penjuru di Melaka dengan kehadiran Pas, Adly berkata majoriti ahli dan penyokong Pas menyatakan sokongan terhadap PH kerana beranggapan hanya gabungan parti pembangkang sahaja mampu menewaskan BN.

Hanya ahli Pas yang fanatik sahaja, jelasnya akan setia mengundi parti itu kerana “menang kalah bukan matlamat utama” mereka.

Ahli dan penyokong Pas negeri ini, katanya menyedari parti itu tidak mampu mengalahkan BN dan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat apatah lagi untuk membentuk kerajaan.

“Seperti kata seorang ahli Pas yang saya temui, sebatang lidi tidak boleh dijadikan penyapu,” katanya merujuk sikap Pas yang mahu bersendirian dalam politik negara.

Adly yang juga Pengerusi AMANAH Melaka turut mengesahkan bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dipilih sebagai calon AMANAH bagi kawasan parlimen Jasin.

“Beliau telah melakukan kerja-kerja lapangan sejak dua minggu lalu dan sambutan orang ramai terhadapnya begitu memberangsangkan.

“Nampaknya Datuk Khairuddin popular di kalangan ahli-ahli Umno. Ke mana sahaja beliau pergi ramai yang mahu berselfie (berswafoto),” katanya.

AMANAH turut meletakkan calon di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Melaka iaitu Tabuh Naning yang diwakili Zairi Suboh, Pantai Kundor (Johari Osman), Durian Tunggal (Sofi Wahab), Bukit Katil (Adly Zahari), Serkam (Ustaz Norkhairi Yusof) dan Merlimau (Yuhaizad Abdullah).

PKR meletakkan calon di dua kawasan parlimen dan lapan Dun, PPBM (2 parlimen dan 6 Dun) dan DAP bertanding di parlimen Kota Melaka dan 8 Dun.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS